
BINTULU: Majlis Makan Malam Gala sempena Global Travel Meet (GTM) 2025 yang diadakan di Sunway Resort Hotel bukan acara rasmi kerajaan, sebaliknya majlis anjuran sektor swasta yang bersifat persendirian, tegas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’Seri Tiong King Sing.
Ahli Parlimen Bintulu itu berkata, peraturan mengenai keraian rasmi serta Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2003 hanya terpakai kepada jamuan rasmi kerajaan yang menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan.
“Majlis Makan Malam Gala sempena GTM 2025 bukan acara rasmi kerajaan, sebaliknya acara anjuran sektor swasta.
“Segala bentuk perbelanjaan dan kandungan majlis adalah di bawah tanggungjawab penganjur dan isu hidangan alkohol tidak seharusnya dikaitkan dengan pihak kementerian,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau menjelaskan, pada peringkat awal pihak kementerian melalui Tourism Malaysia telah mengambil inisiatif menganjurkan GTM 2025 yang julung kali diadakan di Malaysia sebagai platform perniagaan-ke-perniagaan (B2B) membabitkan pemain industri pelancongan dari dalam dan luar negara.
Bagaimanapun, katanya, selepas menerima maklum balas daripada penggiat industri, pihak kementerian memutuskan untuk menumpukan kepada segmen pameran B2B di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur sahaja.
Majlis Makan Malam Gala dijalankan sebagai acara tertutup dan tidak rasmi serta surat makluman mengenai keputusan itu telah dikeluarkan pada 24 September lalu.
Tiong turut mengakui berlaku kekhilafan apabila tiada pengumuman rasmi dibuat pada malam majlis tersebut bahawa ia bukan acara rasmi kementerian, yang menyebabkan kekeliruan apabila latar pentas memaparkan logo Tourism Malaysia dan Visit Malaysia 2026.
“MOTAC dengan penuh rasa tanggungjawab dan rendah hati menyesali sebarang kekeliruan atau salah faham yang timbul serta menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan rakyat.
“Segala kesulitan yang berlaku amat dikesali,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kementerian tidak pernah menyediakan atau menghidangkan alkohol dalam mana-mana majlis rasmi anjurannya, termasuk sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD), Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) di Melaka dan pelancaran Visit Malaysia 2026 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan GTM 2025 yang berlangsung dari 1 hingga 3 Oktober di WTC Kuala Lumpur berjaya menjana nilai potensi perniagaan sebanyak RM420 juta melalui sesi rundingan B2B antara penggiat industri tempatan dan antarabangsa.
Daripada jumlah itu, dianggarkan RM80 juta disumbangkan oleh segmen pelancongan mesra Muslim khususnya dari pasaran Asia Tengah, Timur Tengah, China dan Turkiye.
Program berkenaan turut disertai lebih 100 wartawan antarabangsa yang diberi peluang menyaksikan sendiri kepelbagaian destinasi pelancongan negara.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas nasihat dan sokongan berterusan terhadap usaha kementerian memperkasa industri pelancongan, seni dan budaya negara.
Tiong berharap agar isu berhubung Gala Dinner GTM 2025 tidak dipolitikkan secara tidak wajar sehingga menjejaskan usaha kementerian dalam memperkukuh sektor pelancongan negara.
“MOTAC sentiasa terbuka untuk memberikan penjelasan lanjut sekiranya masih terdapat kekeliruan,” katanya.
Oleh Carolyne Utih