
BELAGA: Pelancaran MySRBN XL di sini hari ini menandakan satu langkah evolusi dalam usaha kerajaan Sarawak memastikan komuniti luar bandar menikmati kemudahan internet berkelajuan tinggi setaraf dengan kawasan bandar.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi, berkata pelaksanaan MySRBN XL membuktikan kepimpinan berwawasan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dalam membina ‘jambatan digital’ untuk semua lapisan rakyat.
“Di bawah kepimpinan Premier, pembangunan negeri dijalankan secara seimbang infrastruktur fizikal dibina, dan dalam masa yang sama, jambatan digital turut diwujudkan untuk menghubungkan rakyat,” katanya.
MySRBN XL, yang diperkenalkan pada Ogos 2025 oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SDEC), menawarkan pakej gentian optik berkelajuan sehingga 100Mbps dengan model prabayar fleksibel tanpa kontrak panjang, khusus untuk masyarakat luar bandar.
Program ini juga sebahagian daripada projek Point of Presence (PoP) Fasa 2, yang menyasarkan liputan di 136 lokasi luar bandar dan sub-bandar di seluruh Sarawak melalui kerjasama strategik antara kerajaan Sarawak, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), SDEC dan Borneo Restu Sdn. Bhd.
Sehingga kini, MySRBN telah berjaya memasang lebih 35,700 sambungan pelanggan (CPE) di seluruh negeri dengan purata trafik harian mencecah 7.83GB setiap pengguna, membuktikan peningkatan ketara penggunaan internet di kawasan luar bandar.
“Dengan MySRBN XL, Sarawak bukan sahaja membina jalan dan jambatan fizikal, tetapi turut membina jambatan digital yang membuka akses kepada peluang ekonomi, pendidikan dan sosial lebih luas,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa inisiatif ini akan diteruskan dan diperkasakan untuk memastikan semua rakyat, termasuk di kawasan pedalaman seperti Belaga, mendapat akses kepada internet berkualiti tinggi demi menjadikan Sarawak sebuah negeri digital yang inklusif dan berdaya saing di peringkat global.
Oleh Carolyne Utih