TANJUNG MALIM: Walaupun terpaksa berkerusi roda dan wujudnya kebimbangan ancaman Covid-19, pengundi tertua dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, M. Renggaiyah, 96, masih mahu menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu semalam.
Bekas anggota pasukan Homeguard menentang komunis ketika zaman darurat itu tiba di pusat mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Trolak di Trolak Pekan, dekat sini, kira-kira 8.30 pagi dengan berkerusi roda yang ditolak anak angkatnya Mohd Riduan Jalil, 57.
Sebaik tiba di pusat mengundi itu, Renggaiyah membuat pemeriksaan suhu badan di kaunter saringan sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mencegah penularan Covid-19.
“Saya tidak pernah meninggalkan tanggungjawab mengundi dan seingat saya sudah 15 kali saya mengundi termasuk hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai mengundi.
Menurut Renggaiyah, beliau bangun seawal 5.30 pagi kerana terlalu teruja untuk menunaikan tanggungjawab mengundi walaupun tempat tinggalnya terletak berhampiran dengan pusat mengundi.
PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz dengan dua calon Bebas iaitu peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi serta bekas guru S. Santharasekaran.
Dalam pada itu, calon-calon bertanding pada PRK itu turut dilihat meninjau proses mengundi semalam.
Ketiga-tiga calon yang bertanding itu bagaimanapun tidak mengundi di DUN berkenaan.
Turut meninjau proses pengundian ialah Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan. – Bernama