
KUCHING: Proses penilaian nilai oleh Kerajaan Persekutuan kini dijalankan terhadap cadangan pembinaan Pusat Kanser Sarawak bagi menilai kesesuaian, kapasiti dan implikasi kos projek sebelum pelantikan perunding dilakukan.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, proses tersebut turut mengambil kira pandangan Kementerian Kewangan memandangkan kementerian itu akan menanggung kos operasi dan penyelenggaraan hospital selepas ia siap kelak.
“Walaupun kerajaan negeri bersedia mendahulukan dana bagi pelaksanaan projek berkenaan, ia tetap dikategorikan sebagai projek kerajaan Persekutuan dan perbelanjaan tersebut akan diganti semula kemudian.
“Penilaian nilai merupakan prosedur standard bagi semua projek di bawah kerajaan Persekutuan, melibatkan pakar teknikal, ahli ekonomi serta kementerian berkaitan bagi memastikan keberkesanan kos dan keperluan teknikal sebelum sesuatu projek dimuktamadkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Persidangan Rantaian Blok Borneo di Muzium Budaya Borneo, hari ini.
Tambah beliau, setelah proses itu selesai, langkah seterusnya ialah pelantikan perunding oleh Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan projek berkenaan.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan Kementerian Kesihatan (KKM) kini sedang meneliti setiap aspek berkaitan kos dan keperluan projek bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya kelak.
“Walaupun dana datang daripada kerajaan negeri, projek ini tetap dikendalikan oleh kerajaan Persekutuan. Namun yang penting, akhirnya Sarawak akan memiliki hospital kanser sendiri,” jelasnya.
Maklumat lengkap mengenai projek berkenaan akan dikemukakan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi tujuan taklimat sebaik proses penilaian selesai, tambahnya.
Oleh Amanda L.