
SIMUNJAN: Usaha memperkukuh sumber perikanan darat serta meningkatkan taraf hidup komuniti luar bandar terus diberi keutamaan apabila sebanyak 20,000 benih udang galah dilepaskan ke dalam Sungai Simunjan.
Majlis pelepasan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris.
Menurut Awla, program seumpama itu bukan sahaja membantu memulihara sumber semula jadi, malah memberi kesan langsung terhadap pembangunan ekonomi penduduk tempatan.
“Melalui program sebegini, penduduk tempatan bukan sahaja mendapat manfaat daripada hasil sungai yang lebih banyak dan berkualiti, tetapi juga berpeluang menjadikan aktiviti penangkapan dan penternakan udang galah sebagai sumber pendapatan tetap.
Ini selaras dengan hasrat kerajaan Sarawak untuk memperkasakan ekonomi rakyat melalui sektor agromakanan,” katanya ketika ditemui UKAS.

Beliau menambah, pelepasan benih udang galah ini juga merupakan strategi jangka panjang bagi memastikan sumber sungai kekal lestari serta mampu menampung keperluan pasaran tempatan secara berterusan.
Program pelepasan benih dan anak udang galah itu telah dianjurkan oleh Jabatan Pertanian Sarawak hari ini, sebagai sebahagian daripada inisiatif pemuliharaan sumber akuatik dan pembangunan sosioekonomi penduduk setempat.
Program yang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian Daerah Simunjan dengan kerjasama Persatuan Nelayan Kampung Sageng Simunjan ini merupakan antara langkah proaktif kerajaan Sarawak bagi memperkukuh sektor perikanan darat serta meningkatkan sumber pendapatan komuniti nelayan di kawasan luar bandar.
Program ini turut menjadi platform untuk menggalakkan penglibatan masyarakat dalam penjagaan ekosistem sungai, sekali gus menyemai kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan sumber perikanan sebagai aset komuniti luar bandar.
Turut hadir Penolong Pegawai Pertanian Kanan, Pejabat Pertanian Daerah Simunjan, Jakaria An, Pegawai Bomba Kanan I, Balai Bomba dan Penyelamat Simunjan, Berjaya Udin, Penghulu Ahmad Dol Simpol serta Abdul Mazelannizam Alpian wakil dari Persatuan Nelayan Kampung Sageng.
-UKAS