Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Sarawak sedang mencipta masa depan
  • KOLUMNIS

Sarawak sedang mencipta masa depan

Utusan Sarawak 6 days ago

UNJURAN hasil Sarawak untuk tahun ini iaitu sebanyak RM14.2 bilion, bakal mengatasi hasil semua 11 negeri di Semenanjung dengan campuran unjuran semuanya cuma kira-kira RM12.83 bilion.

Untuk tahun depan, hasil itu akan terus meningkat dan angka ini dijangka diumumkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg apabila membentangkan Belanjawan 2026 di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti.

Pencapaian ini bukan usaha sehari semalam, malah langkah bersepadu dengan penuh perancangan teliti termasuk melalui Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas produk petroleum yang dieksport dari Sarawak, sejajar dengan hak perlembagaan Sarawak.

Semuanya untuk masa depan anak Sarawak. Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak telah beroperasi dengan suntikan modal awal RM8 bilion dari kerajaan negeri. Rizab negeri Sarawak kini mencecah RM40 bilion.

ABANG Johari memperkenalkan KETEQ AI, peranti penukar kuasa pertama di dunia yang berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan dibangunkan sepenuhnya oleh bakat tempatan Sarawak ketika lawatan ke fasiliti CSA Catapult di Cardiff, Wales, April lepas. – Foto FB Unit Komunikasi Awam Sarawak

Kejayaan menubuhkan AirBorneo, syarikat penerbangan Sarawak pula akan memperkasakan lagi sektor penerbangan dan memperluas rangkaian sambungan udara serantau.

AirBorneo dijangka mula beroperasi pada Januari 2026, sekali gus akan memberi kemudahan mobiliti yang lebih inklusif dan mudah diakses di rantau ini.

Untuk perancangan jangka panjang, sebuah lapangan terbang baharu bakal dibina di Tanjung Embang dan disasarkan untuk siap pada 2032.

Pelabuhan Laut Dalam juga akan dibina di situ, sekali gus bakal meletakkan Sarawak sebagai pemain penting dalam rangkaian perdagangan serantau dan global.

Pada masa sama, Sarawak juga telah berjaya memperoleh pegangan majoriti dalam Affin Bank.

Langkah ini melengkapkan pembangunan fizikal dengan kekuatan kewangan, memberi akses pembiayaan yang lebih luas kepada usahawan dan perusahaan tempatan, agar manfaatnya kembali kepada rakyat Sarawak.

GAMBAR hiasan janaan AI.

Operasi Affin Bank semakin berkembang di Bumi Kenyalang dengan pembukaan cawangan-cawangan baharu, khususnya di Kuching. Pada 26 Ogos lepas, Pejabat Wilayah Sarawak Affin Bank telah dibuka.

Langkah itu mencerminkan komitmen Affin Bank untuk menjadi sebahagian daripada pemangkin kepada pembangunan ekonomi di Sarawak.

LAKAR SEJARAH

Sarawak turut melakar sejarah penting apabila mengambil alih Lembaga Pelabuhan Bintulu.

Langkah strategik ini memperkukuh keupayaan maritim Sarawak serta membuka ruang yang lebih luas untuk Sarawak meneroka peluang perdagangan antarabangsa.

Seiring dengan aspirasi pelan Strategi Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) untuk memacu pembangunan menggunakan data dan inovasi, kerajaan Sarawak giat melaksanakan pelbagai inisiatif baharu merangkumi ekonomi digital, ekonomi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.

Dari segi tenaga boleh diperbaharui, Sarawak menyasarkan untuk menjana tenaga hijau sebanyak 15 GigaWatt menjelang 2035 sebagai langkah untuk menjadikan Sarawak sebagai bateri ASEAN yang dapat menarik lebih banyak pelaburan untuk industri hijau.

OPERASI Affin Bank semakin berkembang di Bumi Kenyalang dengan pembukaan cawangan-cawangan baharu, khususnya di Kuching.

Peranan Sarawak dalam pembangunan tenaga telah diiktiraf dalam kenyataan bersama oleh Perdana Menteri dengan Sultan Brunei semasa Rundingan Pemimpin Tahunan Malaysia-Brunei ke-26, baru-baru ini.

Sarawak juga telah melancarkan Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen, Pelan Induk Sarawak Mampan serta Dasar Peralihan Tenaga Sarawak sebagai peneraju tenaga hijau di rantau ini.

Inisiatif ini juga menjamin keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar, sejajar dengan aspirasi mencapai sifar bersih menjelang 2050.

Sarawak juga merupakan pengeluar gas terbesar di Malaysia dan pengeksport Gas Cecair Asli (LNG) utama negara dengan nilai sebanyak RM56.4 bilion pada 2024.

SARAWAK turut melakar sejarah penting apabila mengambil alih Lembaga Pelabuhan Bintulu.

Bagi menambah nilai sumber gas asli, Sarawak turut melancarkan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR).

Melalui SGR, Sarawak akan memacu pembangunan gas asli untuk memangkin pertumbuhan ekonomi wilayah ini dan memperluaskan rantaian nilai melalui pembangunan industri hiliran seperti petrokimia dan industri berasaskan gas.

Antara kejayaan dalam usaha ini adalah pengoperasian kilang methanol milik Sarawak sendiri di Bintulu.

PEMBANGUNAN RANTAIAN GAS

SGR disasarkan untuk menjana RM120 bilion output dalam tempoh 10 tahun akan datang di samping menarik pelaburan bernilai RM300 bilion dalam pembangunan rantaian nilai gas asli wilayah Sarawak.

Kerajaan Sarawak juga sedang mempertingkatkan lagi pembangunan prasarana di luar bandar dan pedalaman setelah siapnya projek Lebuh Raya Pan Borneo, untuk keselesaan penduduk.

Projek Rangkaian Jalan Raya Sarawak Sabah (SSLR) pula bakal mengubah landskap kehidupan rakyat di utara Sarawak dengan peluncurannya dilakukan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Projek SSLR Fasa 2 dijangka siap pada tahun 2029 melibatkan anggaran kos RM7.6 bilion. Projek sepanjang 335 kilometer itu, akan menghubungkan kawasan Mulu, Nanga Medamit (Limbang), Long Luping (Lawas) serta Ba’kelalan.

Projek tersebut merangkumi pembinaan jalan raya, jambatan, jejambat, lampu jalan dan sistem perparitan.

SSLR Fasa 2 merupakan kesinambungan kepada SSLR Fasa 1 bermula dari Lawas ke Long Luping yang dimulakan pada 2021 dan kini telah mencapai kemajuan pelaksanaan sebanyak 57.6 peratus.

Dalam tahun ini, sembilan lagi projek pembinaan jambatan giat dilaksanakan di Sarawak dijangka siap. Ia sebahagian daripada 16 projek pembinaan jambatan.

Turut membanggakan adalah penciptaan peranti KETEQ AI, prototaip penukar kuasa berasaskan kecerdasan buatan pertama dunia oleh anak Sarawak melalui kerjasama dengan CSA Catapult UK yang dilancarkan di Cardiff, United Kingdom pada April lalu.

KETEQ AI direka bentuk dengan keupayaan mengesan dan membetulkan gangguan sistem secara automatik dalam tempoh kurang 0.1 milisaat, menjadikannya antara sistem paling responsif dalam bidang kawalan pintar dan elektronik kuasa.

Abang Johari sendiri menyifatkan teknologi itu sebagai satu kemajuan besar yang membuktikan komitmen Sarawak dalam membangunkan keupayaan teknologi strategik sendiri.

Ia permulaan sebagai manifestasi visi Sarawak untuk menjadi pencipta teknologi yang akan memberi nilai tambah kepada sumber Sarawak.

Selain itu, penubuhan Pusat Kecerdasan Buatan Negeri (SAIC) sebagai pusat rujukan dan inovasi AI  sekali gus bakal menjadi pemangkin melatih tenaga kerja, memupuk penyelidikan serta menyediakan platform syarikat pemula dan usahawan tempatan membangunkan penyelesaian digital yang mampu menembusi pasaran global.

Sarawak bukan sekadar mengejar masa depan, ia sebenarnya sedang mencipta masa depan dalam pelbagai bidang daripada aeroangkasa, tenaga hijau, gas, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi tinggi.

Semoga Sarawak terus maju jaya.

  • Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak
Tags: Kadir Dikoh

Continue Reading

Previous: Diplomasi berprinsip dan peranan PM dalam Misi Kemanusiaan GSF
Next: Fungsi sayap pesawat, gaya reka bentuk

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.