
PETRA JAYA: Kecerdasan buatan (AI) dan revolusi hijau bakal menjadi fokus utama Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2025 (IDECS 2025) yang akan berlangsung pada 22 dan 23 Oktober ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, IDECS tahun ini menampilkan pembaharuan dengan menjemput tokoh-tokoh terkemuka dunia dalam bidang kecerdasan buatan dan inovasi digital.
“Empat penceramah utama persidangan ialah James Barrat, penulis buku ‘Our Final Invention: Artificial Intelligence and the End of the Human Era’, Dr Ayesha Khanna, pakar AI antarabangsa dan Ketua Pegawai Eksekutif ADDO, Dr Justin Cohen, pakar transformasi manusia melalui penggunaan AI serta Scott Bales, futuris dan pakar strategi inovasi serta transformasi digital,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini.

Tambahnya, persidangan selama dua hari itu akan dirasmikan oleh Premier Sarawak pada hari pertama acara.
“Kita menjangkakan sekitar 10,000 peserta terdiri daripada penceramah, perwakilan tempatan dan antarabangsa serta golongan belia.
“Pelajar sekolah turut digalakkan hadir sebagai tetamu bagi menyaksikan pelbagai pameran dan pembentangan menarik sepanjang persidangan ini,” ujarnya.
Turut hadir pada sidang media ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengerusi Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA) Dato Dr Anderson Tiong Ing Heng, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC Dato Ir Ts Sudarnoto Osman, serta tetamu kehormat lain.
Oleh Masrin Affirah