
LOS ANGELES: Adik penyanyi country Amerika Syarikat, Dolly Parton, pada Selasa memohon para peminat mendoakan kesihatan kakaknya yang terpaksa menangguhkan beberapa konsert kerana masalah kesihatan.
Parton, 79 tahun, minggu lalu menangguhkan beberapa persembahan yang dijadualkan di Las Vegas kerana menghadapi “cabaran kesihatan” yang tidak diperincikan, dan akan menjalani beberapa prosedur perubatan.
“Malam tadi saya berjaga sepanjang malam berdoa untuk kakak saya, Dolly. Ramai yang tahu beliau tidak berasa sihat kebelakangan ini,” tulis Freida Parton di Facebook.
“Saya benar-benar percaya pada kuasa doa, dan terpanggil untuk mengajak seluruh dunia yang menyayanginya menjadi pejuang doa dan berdoa bersama saya.”
Dolly Parton dijadualkan mengadakan enam malam persembahan yang telah habis dijual pada Disember di Caesars Palace.
Penyanyi lagu Jolene dan I Will Always Love You itu membatalkan tarikh tersebut minggu lalu kerana kesihatannya tidak membolehkan beliau menjalani latihan dan menghasilkan persembahan yang diharapkan peminat.
Bagaimanapun, Parton menegaskan kepada jutaan pengikutnya bahawa beliau belum menamatkan kerjayanya, dan tarikh baharu persembahan telah dijadualkan pada September tahun depan.
Parton mencipta nama sebagai bintang besar pada 1970-an dengan lagu seperti Coat of Many Colors dan kemudiannya hits seperti I Will Always Love You yang dipopularkan semula oleh Whitney Houston, serta 9 to 5.
Beliau dijadual menerima Anugerah Oscar Kehormat bulan depan, namun menurut majalah hiburan Variety, Parton kini dijangka tidak hadir ke majlis di Los Angeles.
Freida mengakhiri rayuannya dengan nada positif.
“Dia kuat, disayangi, dan dengan semua doa yang dipanjatkan, saya yakin dia akan pulih sepenuhnya,” tulisnya.
“Semoga Tuhan melindungimu, kakakku Dolly. Kami semua sayangkan kamu!”
– AFP