
SARIKEI: Majlis perlantikan ahli jawatankuasa baharu Persatuan Klan Liing Hung Wong Cawangan Sarikei menyerlahkan semangat bersatu dan penghargaan terhadap pendidikan melalui penyampaian anugerah pelajar cemerlang dan sumbangan kepada warga emas.
Hadir bagi mewakili Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Huang Tiong Sii ke majlis tersebut baru-baru ini ialah Penghulu Huang Tiong Kang.
Dalam ucapannya, Tiong Sii menzahirkan penghargaan kepada barisan ahli jawatankuasa baharu persatuan tersebut yang telah mengangkat sumpah jawatan serta menyatakan keyakinan bahawa kepimpinan mereka akan terus memperkukuhkan perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan ahli.
Beliau turut memuji usaha persatuan yang secara konsisten menyokong pendidikan dengan menyampaikan anugerah pelajar cemerlang serta bantuan pendidikan kepada anak-anak ahli.
Katanya, pendidikan merupakan pelaburan paling berharga untuk masa depan komuniti dan negara.
Tiong Sii juga menyanjung inisiatif persatuan yang tidak melupakan golongan warga emas dengan menyampaikan sumbangan penghargaan sebagai tanda kasih dan hormat terhadap jasa mereka.
“Usaha persatuan mengekalkan tradisi, mengukuhkan hubungan silaturahim dan menyemai nilai hormat antara generasi adalah contoh baik yang perlu diteruskan.
“Sebagai wakil rakyat, keutamaan saya adalah untuk memperjuangkan pembangunan Parlimen Sarikei dan Repok agar setiap komuniti mendapat akses kemudahan asas yang lebih baik dan seimbang.
“Kerajaan melalui pelbagai inisiatif akan terus mendengar suara rakyat dan melaksanakan projek yang benar-benar memberi manfaat kepada komuniti,” katanya.
Beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Klan Liing Hung Wong Cawangan Sarikei bagi menyokong pelaksanaan aktiviti tahunan persatuan.
Majlis tersebut turut diserikan dengan sambutan Perayaan Kuih Bulan, sekali gus mengukuhkan semangat kebersamaan, penghargaan terhadap warga emas dan penekanan kepentingan pendidikan dalam kalangan ahli.
Oleh Earl Anek