Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Diplomasi berprinsip dan peranan PM dalam Misi Kemanusiaan GSF
  • KOLUMNIS

Diplomasi berprinsip dan peranan PM dalam Misi Kemanusiaan GSF

Utusan Sarawak 5 hours ago

KRISIS kemanusiaan di Gaza sering kali menjadi medan ujian kepada integriti moral dan keupayaan diplomasi sesebuah negara.

Malaysia, yang selama ini mengekalkan pendirian tegas menentang penjajahanZionis ke atas bumi Palestin, sekali lagi menunjukkan keunggulan pendekatan luar negerinya menerusi misi membawa pulang sukarelawan Global Survival Fund (GSF) dari wilayah bergolak tersebut.

Dalam keadaan Malaysia tiada hubungan diplomatik rasmi dengan Israel, kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan kecekapan perancangan, tetapi juga kedalaman strategi diplomasi pelbagai lapis yang digerakkan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kepimpinan diplomasi kemanusiaan

Langkah Perdana Menteri dalam memastikan kepulangan sukarelawan GSF dari Israel memperlihatkan dimensi diplomasi kemanusiaan yang amat tinggi nilainya.

Kejayaan ini tidak berlaku secara spontan, sebenarnya ia menuntut kefahaman mendalam terhadap geopolitik Asia Barat, kemahiran merangka strategi “diplomasi rentas sempadan” (cross-border diplomacy), serta kebolehan mengurus saluran komunikasi tidak langsung yang penuh risiko dan ketidaktentuan.

KREDIT FB Sumud Nusantara Official.

Berlatarbelakangkan sebagai tokoh global dalam dunia Islam dan politik antarabangsa, Anwar bijak memanfaatkan hubungan baik Malaysia dengan negara seperti Mesir, Qatar, Jordan dan Turkiye, iaitu negara-negara yang mempunyai pengaruh langsung ke atas Israel dan akses sah ke Gaza.

Usaha ini memperlihatkan satu bentuk diplomasi berlapis (layered diplomacy) yang menyeluruh.

Dua bentuk pendekatan menjadi teras kepada strategi beliau ialah Diplomasi Humanitarian Neutrality yang menekankan aspek bantuan kemanusiaan sebagai isu sejagat yang melampaui sempadan politik dan agama.

Satu lagi ialah Diplomasi Reputasi apabila Malaysia mengekalkan identiti sebagai pembela prinsip keadilan global sambil memberikan keseimbangan dengan keperluan melindungi warganya dalam konflik luar negara.

Gabungan dua bentuk diplomasi ini tidak hanya bersifat reaktif, tetapi proaktif dan taktikal, memperlihatkan Malaysia sebagai watak berwibawa dalam sistem antarabangsa tanpa kuasa besar.

Strategi diplomasi tanpa hubungan formal

Diplomasi Malaysia dalam kes ini terbukti bukan sekadar bergantung kepada kekuatan kenyataan politik, tetapi kepada pelaksanaan diplomasi alternatif dan bukan konvensional dalam konteks ketiadaan hubungan rasmi dengan Israel.

DUTA Besar Malaysia ke Republik Turkiye, Sazali Mustafa Kamal (kanan) menyambut sukarelawan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) Malaysia di Lapangan Terbang Istanbul, Turkiye. – Foto Kedutaan Besar Malaysia Ankara @MYEmbAnkara.

Tiga pendekatan utama dikenalpasti, iaitu Diplomasi Pihak Ketiga (Third-Party Diplomacy). Malaysia dipercayai menggunakan saluran diplomatik melalui negara-negara Islam yang menjalin hubungan rasmi dengan Israel.

Mesir dan Qatar, sebagai contoh, berperanan sebagai “penyampai mesej” yang membawa tuntutan Malaysia kepada pihak Israel.

Pendekatan ini mengelak konfrontasi terus dan membolehkan wujudnya komunikasi walau dalam suasana tegang.

Yang kedua ialah Diplomasi Kemanusiaan (Humanitarian Diplomacy) yang berfokus kepada keselamatan sukarelawan dan akses kemanusiaan adalah strategi bijak yang mengaburkan ketegangan politik tetapi mengekalkan naratif kemanusiaan.

Aspekini selaras dengan pendirian Malaysia di PBB yang menekankan keperluan humanitarian corridors ke Gaza dan wilayah bergolak lain.

Yang ketiga ialah Diplomasi Multilateral apabila turut memanfaatkan jaringan dalam badan antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Rakan Dialog ASEAN , menjadikan suara kolektif sebagai alat tekanan diplomatik.

Dalam konteks ini, Malaysia tidak bertindak bersendirian, tetapi sebagai sebahagian daripada rangkaian global yang menuntut keadilan dan akses kemanusiaan.

Malah, peranan pertubuhan seperti Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dan Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), serta hubungan peribadi Perdana Menteri dengan tokoh antarabangsa tertentu turut membantu membina laluan diplomatik yang tidak terjangka secara rasmi tetapi berkesan secara praktikal.

Pendekatan ini sejajar dengan konsep multi-track diplomacy, apabila saluran formal dan tidak formal digerakkan serentak.

Implikasi politik dan simbolisme kepimpinan

Kesan daripada kejayaan misi ini melangkaui aspek fizikal membawa pulang sukarelawan. Ia membawa implikasi politik, simbolik dan strategik yang mendalam kepada Perdana Menteri dan kepada negara Malaysia secara keseluruhan dalam tiga aspek dan perspektif.

Pengukuhan imej domestik

Daripada kaca mata rakyat Malaysia, terutama masyarakat Islam, tindakan ini menggambarkan keberanian moral dan kesungguhan praktikal pemimpin negara dalam membela prinsip kemanusiaan sejagat.

Peristiwa ini meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin yang bukan hanya lantang di pentas antarabangsa, tetapi juga berupaya bertindak secara berkesan.

Dalam suasana isu Palestin ia menjadi simbol penyatuan umat Islam, keberhasilan ini mengukuhkan kepercayaan awam terhadap keikhlasan Anwar, yang tidak sekadar mengungkap retorik, tetapi bertindak melalui saluran sah dan diplomatik.

Lonjakan imej antarabangsa Malaysia

Dalam era politik global yang dicemari hipokrasi kuasa besar terhadap isu Gaza, Malaysia muncul sebagai “suara moral Selatan Global (Global South)” yang merupakan negara kecil tetapi tegas, yang tidak gentar memperjuangkan prinsip keadilan antarabangsa.

Imej ini memberi kelebihan geopolitik kepada Malaysia sebagai negara yang dihormati di pelbagai forum antarabangsa. Dalam jangka panjang, ia menambah nilai kepada peranan Malaysia dalam organisasi seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), NAM dan OIC, serta memberi peluang lebih besar dalam rundingan antarabangsa mengenai isu serantau dan global.

Anwar Ibrahim sebagai perunding berhati nurani

Kejayaan ini juga memberi kekuatan simbolik kepada Perdana Menteri sebagai pemimpin Islam moden dan progresif yang mampu memberikan jalan tengah dan seimbang dengan prinsip idealisme dengan realiti politik dunia.

Gelaran tidak rasmi seperti “negotiator with conscience” atau “pemimpin suara nurani” mula dikaitkan dengan beliau dalam kalangan pemerhati antarabangsa.

Diplomasi tanpa normalisasi

Sangat penting untuk ditegaskan bahawa keberhasilan misi ini tidak diterjemahkan sebagai keperluan untuk menormalisasi hubungan Malaysia-Israel.

Sebaliknya, ia menjadi bukti bahawa hubungan rasmi bukan prasyarat kepada kecekapan diplomatik.

Malaysia berjaya menunjukkan bahawa prinsip boleh ditegakkan tanpa tunduk kepada tekanan kuasa besar dan tanpa menggadai dasar luar negara yang berpaksikan perjuangan rakyat tertindas. Kejayaan ini juga menjadi rujukan kepada negara lain yang menghadapi dilema serupa.

Rumusan

Misi membawa pulang sukarelawan GSF dari Israel adalah lebih daripada sekadar operasi logistik. Ia merupakan manifestasi kepada keupayaan Malaysia menjalankan diplomasi kemanusiaan secara efektif, terhormat, dan berprinsip meskipun dalam ruang geopolitik yang rumit dan berisiko tinggi.

Anwar dalam konteks ini, tidak sekadar memperkukuh imej peribadinya, tetapi juga meneguhkan warisan diplomasi Malaysia sebagai negara yang berani bersuara demi keadilan, bijak mengurus risiko diplomatik,dan konsisten mempertahankan prinsip, tanpa kehilangan kredibiliti antarabangsa.

Justeru, Malaysia telah membuktikan bahawa kebijaksanaan, bukannya kekuatan ketenteraan, adalah jalan ke hadapan untuk mempengaruhi dunia dan kemanusiaan.

Legasi diplomasi berprinsip Malaysia amat dihormati oleh negara-negara dunia.

  • Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)
Tags: Dr Awang Azman

Continue Reading

Previous: Datuk Patinggi Abdul Ghapur

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.