Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Struktur yang belum sempurna: Menelusuri kekuatan dan kelemahan cerpen “Belum Selesai”
  • WBS

Struktur yang belum sempurna: Menelusuri kekuatan dan kelemahan cerpen “Belum Selesai”

Utusan Sarawak 3 days ago


SEPERTI yang pernah disebut oleh Sasterawan Negara A. Samad Said, sastera yang jujur ialah suara rakyat kecil yang sering terpinggir. Dalam konteks cerpen remaja, suara itu lahir dari ruang sekolah, bilik darjah dan lorong tandas, iaitu tempat konflik kecil remaja tumbuh menjadi persoalan besar.

Cerpen bertajuk “Belum Selesai”karya Siti Nur Hidayah Masda hadir sebagai karya sulung seorang penulis muda yang ‘belum selesai’ dan memerlukan langkah (baca: usaha) seterusnya yang konsisten.

Dengan latar remaja dan konflik buli yang realistik, cerpen ini memperlihatkan bakat semula jadi penulis dalam menghidupkan watak dan dialog.

Namun, dalam keghairahan menganyam naratif, terdapat juga ruang-ruang struktural yang masih longgar, menunggu sentuhan kemas agar keseluruhan cerita dapat menjentik emosi dan membekas dalam ingatan pembaca.

Ulasan ini akan cuba menelusuri kekuatan dan kelemahan cerpen tersebut dari aspek struktur yang meliputi plot, perwatakan, latar, dialog, gaya bahasa, konflik dan peleraiannya kerana konsep asas itulah yang perlu difahami oleh penulis-penulis muda yang baru berjinak-jinak dalam penulisan.

Pastinya, ulasan ini bukan untuk menundukkan semangat penulis muda tetapi untuk menyuluh jalan dan menjadi cermin yang jernih menuju kematangan penulisan.

Dalam konteks sastera remaja Malaysia, cerpen seperti ini amat penting kerana mencerminkan realiti kehidupan pelajar, yakni dunia yang sering dipandang enteng oleh sastera arus perdana.

Lorong sekolah, bilik darjah dan tandas yang merupakan ruang-ruang kecil ini, sebenarnya menyimpan denyut konflik sosial, emosi dan moral. Banyak karya remaja gagal menonjolkan kejujuran pengalaman ini, tetapi cerpen “Belum Selesai” berani mengangkatnya ke dunia penerbitan.

Seperti yang ditegaskan oleh Braginsky, sastera bukan sahaja cermin realiti tetapi juga alat untuk membentuk kesedaran masyarakat. Dalam konteks ini, karya Siti Nur Hidayah menjadi satu usaha awal yang baik untuk menyuarakan isu buli dan ketakutan remaja dalam bingkai naratif tempatan.

Ini menjadikan perbincangan tentang strukturnya penting yang bukan sekadar memperkatakan tentang bentuk tetapi juga peranan bentuk itu dalam menyampaikan suara yang tersembunyi.

Secara umumnya, cerpen ini menampilkan plot linear yang mudah difahami dan diikuti oleh pembaca. Babak awal yang menunjukkan Zati mengetuk pintu bilik Mia sambil merajuk merupakan permulaan yang sangat kuat dari segi emosi.

Teknik ini bukan sekadar memperkenalkan watak tetapi juga terus menimbulkan persoalan dramatik: mengapa Mia mengasingkan diri? Teknik in medias res ini berjaya “menarik masuk” pembaca ke tengah konflik tanpa perlu latar panjang.

Namun begitu, selepas pendedahan konflik tentang geng pembuli, struktur dramatik menuju klimaks terasa agak mendatar. Babak Mia mengintai geng tingkatan 5 yang berbincang tentang kertas ujian sepatutnya boleh dijadikan titik suspens yang lebih besar; misalnya, dengan memberi petanda bahawa Mia diperhatikan atau menunjukkan ketakutannya secara progresif.

Pembangunan ini penting seperti kata Umberto Eco, sebuah cerita yang baik perlu memberi “gema yang memuaskan” bukannya pada klimaks yang tergesa-gesa pada akhir cerita.

Dalam cerpen ini, keputusan Zati dan Mia ke bilik pengetua muncul secara tiba-tiba selepas satu babak penceritaan yang panjang tanpa peningkatan emosi yang jelas.

Tambahan pula, adegan pelajar junior datang berlari memberitahu Mariam telah diheret oleh geng pembuli sebenarnya membuka ruang untuk sebuah penutup klimaks yang lebih dramatik.

Sekiranya penulis memperluas bahagian ini seperti dengan menunjukkan tindakan segera Zati atau kegelisahan Mia sebelum mereka berlari ke lokasi, tentu cerita ini akan memiliki lengkung dramatik yang lebih mantap agar tidak digantung begitu sahaja.

Goenawan Mohamad pernah menegaskan bahawa kekuatan sebenar karya terletak pada ‘bahasa yang jujur dan tidak dibuat-buat’. Dialog Zati dan Mia membuktikan hakikat itu.

Dialog yang diungkapkan mengalir seperti air; tidak tersangkut oleh gaya penulisan yang berpura-pura atau dibuat-buat. Watak-watak utama – Zati dan Mia – digarap dengan baik melalui dialog dan tindakan.

Zati tampil sebagai gadis lantang yang menjadi benteng atau pelindung kepada rakannya, manakala Mia membawa lapisan emosi seorang remaja yang terperangkap antara ketakutan dan keberanian.

Keakraban mereka disampaikan dengan natural, terutama dalam babak gurauan bantal yang mengimbangi ketegangan cerita dengan kehangatan persahabatan.

Watak antagonis pula walaupun tidak diperincikan secara mendalam, tetap memainkan peranan jelas sebagai pemangkin konflik. Menurut Mana Sikana, watak yang hidup bukan sekadar bergerak dalam cerita tetapi menggerakkan cerita itu sendiri.

Watak Zati jelas memainkan peranan ini yang menjadi nadi naratif yang menggerakkan setiap babak penting dalam cerpen ini.

Zati digambarkan dengan sangat jelas sebagai watak berani dan tegas melalui dialognya yang spontan dan emosional.

Contohnya, apabila Mia terus mendiamkan diri di bilik, Zati bersuara lantang:

“Hoi, budak! Kau buat apa kat dalam tu? Senyap je kau ni. Aku dah berpeluh panggil kau keluar. Tapi kau tak jawab aku pun. Sampai hati kau tak pedulikan kawan baik kau ni.”

Nada marah dan rajuk Zati dalam petikan ini menggambarkan keakrabannya dengan Mia dan sikapnya yang tidak mudah berputus asa. Ini menjadikan watak Zati bukan sekadar ‘kawan penyokong’ tetapi benar-benar menjadi pemacu plot yang akhirnya mengajak Mia membuat laporan kepada pengetua.

Watak Mia pula berkembang melalui lapisan ketakutannya. Adegan ketika dia mengintai geng tingkatan 5 di tandas yang kemudian ‘kantoi’ apabila Auni menjerit namanya telah memperlihatkan dilema remaja yang terperangkap antara rasa ingin tahu dan rasa takut.

Perinciannya seperti ‘bahu dipicit kuat sehingga lebam biru’ dan ‘ketakutan untuk melapor kerana risau akan dibalas dendam’ telah menambah nada realisme kepada watak ini.

Namun, ruang introspektifnya masih terhad kepada dialog luaran. Sekiranya penulis memberikan ruang untuk watak bermonolog dalaman misalnya Mia menimbang risiko antara melapor atau berdiam tentunya akan memberikan kedalaman psikologi yang lebih kuat.

Namun, beberapa dialog telah menunjukkan potensi besar untuk memperdalam watak antagonis:

“Tudung aku disentap dari belakang sampai mendongak muka aku ni. Budak yang tarik tu ialah Isya…”

Dialog kasar dan tindakan fizikal watak-watak antagonis sebenarnya boleh dijadikan landasan untuk memahami hierarki kuasa dalam kumpulan tersebut – siapa ketua, siapa pengikut dan mengapa mereka berani bertindak begitu.

Jikalau penulis menyelitkan sedikit motivasi atau dinamika dalaman tentang geng ini, maka konflik akan menjadi lebih kompleks dan menarik.

Latar rumah, sekolah, bilik tidur, tandas dan kantin yang dipilih oleh penulis juga telah membentuk dunia naratif yang mudah divisualkan. Unsur-unsur tempatan seperti ‘nenek’, ‘cucur cempedak’ dan cara pelajar berinteraksi memberi cerpen ini aura tempatan yang jujur.

Seperti yang diungkapkan Prof. Muhammad Haji Salleh, sastera yang baik ialah ‘sebuah rumah tempat bangsa mencari dirinya’. Dalam cerpen ini, rumah itu dibina melalui latar yang dekat dengan kehidupan sebenar remaja Malaysia.

Kekuatan cerpen ini turut meletakkan pengolahan dialog yang menjadi tulang utama untuk menegakkan kredibiliti penulis. Penulis tidak terperangkap dalam bahasa yang kaku atau terlalu buku.

Pembaca seolah-olah sedang menyaksikan perbualan sebenar pelajar sekolah menengah. Kejujuran bahasa seperti ditegaskan Goenawan Mohamad ialah nyawa karya dan penulis muda ini ternyata memahami denyut nadi itu.

Penulis juga cuba melontarkan kecamuk jiwa dan permasalahan masyarakat dalam karyanya. Tema buli dan solidariti rakan sebaya merupakan isu semasa yang dekat dengan khalayak muda.

Konflik dalaman Mia (takut melapor) bersilih ganti dengan konflik luaran (ancaman geng pembuli) telah menjadikan naratif ini bukan sekadar kisah persahabatan tetapi juga tentang keberanian dan keadilan.

A. Samad Said sering menyebut bahawa sastera harus menjadi suara kepada yang bisu dan melalui watak Mia, penulis menyampaikan suara itu dengan lembut tetapi tegas.

Seperti yang telah ditegaskan pada awal ulasan ini, cerpen “Belum Selesai” ini sendiri bersifat ‘belum selesai’ untuk penulis perbaiki persis rumah yang perlu ditukangi dan diperhalusi setiap kekurangannya.

Perkara ini merupakan proses pembelajaran biasa – samalah seperti watak remaja dalam cerpen ini yang perlu melalui rintangan sebelum menjadi dewasa dan matang dalam pemikiran serta tindakan.

Meskipun plot cerpen jelas, pembangunan klimaks dan peleraiannya masih belum cukup mantap. Babak klimaks, iaitu pendedahan buli dan keputusan Mia dan Zati membuat laporan berlaku agak tergesa-gesa tanpa peningkatan dramatik. Umberto Eco dalam The Role of the Reader menyebut bahawa sebuah cerita tidak semestinya menutup semua pintu, tetapi perlu memberi ‘gema yang memuaskan’.

Dalam cerpen ini, pintu dibiarkan terbuka tetapi gema klimaksnya belum cukup bergetar untuk meninggalkan kesan. Mungkin juga penulis sengaja menutup cerita dan konflik secara tergantung tanpa peleraian untuk menggambarkan bahawa isu buli di sekolah “belum selesai”.

Tetapi untuk memberikan kepuasan dramatik kepada pembaca, peleraiannya boleh diperkaya, misalnya dengan memperlihatkan tindakan Zati dan Mia selepas menerima berita tersebut atau sekurang-kurangnya refleksi batin mereka terhadap situasi itu.

Selain itu, perwatakan antagonis dalam cerpen ini kurang kedalaman atau diperincikan oleh penulis. Geng pembuli hanya muncul sebagai bayang yakni stereotaip ‘geng minah karipap’ yang bertindak tanpa diberi motivasi.

Harold Bloom menyebut bahawa konflik terbaik lahir daripada ‘pertembungan kehendak watak yang sama kuat’. Dalam cerpen ini, antagonis hanya berfungsi sebagai pemicu; bukan penggerak sebenar konflik.

Penulis perlu menambah sedikit latar dan lapisan agar kewujudan watak antagonis ini boleh meningkatkan lagi aspek ketegangan dramatik.

Antara kelemahan lain dalam cerpen ini adalah dari aspek ketumpulan naratif dan irama cerita. Beberapa bahagian dialog agak panjang dan berulang menyebabkan tempo cerita sedikit mendatar sebelum konflik utama muncul.

Pembaca kadang kala sedikit keliru untuk mengenal pasti siapakah penutur dialog berkenaan. Penulis perlu menyeimbangkan teknik dialog dengan teknik deskriptif agar berlakunya keseimbangan dalam karya berkenaan.

Bahagian pengenalan cerpen ini juga berlaku dengan begitu panjang berbanding perkembangan konflik. Seperti yang sering ditekankan oleh Mana Sikana, struktur cerpen yang baik memerlukan ‘keharmonian antara gerak cerita dan hentian emosi’.

Ketidakseimbangan ini telah menjejaskan kualiti cerpen ini dan kelemahan ini perlu diperbaiki oleh penulis dalam karyanya yang akan datang.

Cerpen ini (boleh dikatakan) terlalu bergantung kepada dialog dan sudut pandang luaran. Watak Mia yang menjadi pusat emosi kurang diberikan ruang introspektif.

Penggunaan teknik seperti monolog dalaman atau kilas balik boleh memperdalam pengalaman watak.

Goenawan Mohamad pernah berkata bahawa ‘keheningan sering kali lebih lantang daripada suara’. Dalam cerpen ini, keheningan Mia belum diberi ruang untuk berbicara.

Pengakhiran cerpen ini memberi bayangan kepada episod seterusnya namun tiada refleksi watak utama selepas konflik memuncak.

Muhammad Haji Salleh pernah mengingatkan bahawa cerita yang baik bukan sekadar berakhir tetapi ‘berkumandang selepas noktah’. Dalam hal ini, gema itu masih lemah.

Secara keseluruhannya, cerpen “Belum Selesai” memperlihatkan potensi besar seorang penulis muda dalam membina dunia remaja yang hidup dan autentik. Dengan penguasaan dialog yang mengagumkan dan kepekaan terhadap isu semasa, karya ini mempunyai daya tarikan tersendiri.

 Namun, seperti judulnya, struktur cerpen ini juga masih ‘belum selesai’. Beberapa aspek seperti pembangunan klimaks, peleraian, kedalaman antagonis dan variasi teknik naratif boleh diperhalusi.

Bagi karya akan datang, penulis disarankan untuk melakukan beberapa penambahbaikan. Antaranya, penulis perlu menyusun semula tempo plot agar peralihan babak lebih halus dan klimaks lebih dramatik.

Penulis juga perlu memberi ruang kepada deskripsi dan monolog dalaman untuk memperkaya emosi dalam karyanya. Dialog yang diucapkan hanya memaparkan aspek luaran tanpa cuba menyelami aspek kejiwaan yang kadang kala cuba disembunyikan oleh watak.

Perkara inilah yang perlu cuba dirungkai oleh penulis agar sesebuah karya itu lebih mencengkam. Penambahbaikan lain yang perlu dilakukan oleh penulis adalah dengan menambah kedalaman watak antagonis agar konfliks yang diolah lebih kompleks serta tidak hanya pada permukaan sahaja.

Konfliks yang digambarkan secara hambar atau di atas permukaan sahaja tidak akan meninggalkan kesan emosi kepada pembaca sehingga turut menjejaskan mutu karya berkenaan.

Dengan sentuhan penyuntingan yang teliti dan kesedaran struktur yang lebih mendalam, karya remaja ini bukan sahaja akan memainkan peranannya sebagai penghibur tetapi juga menyentuh hati dan mencetus renungan.

Muhammad Haji Salleh pernah menulis bahawa penulis muda bukan sekadar peniru bentuk tetapi pewaris roh bangsa yang harus belajar menyusun bahasa seperti tukang besi menyusun mata keris dengan menampilkan sikap sabar, teliti dan berjiwa.

Cerpen ini ibarat sebilah mata yang hampir siap diasah. Dengan bimbingan dan kesedaran struktural, penulis ini mampu melahirkan karya yang bukan sahaja menghibur tetapi juga meninggalkan gema yang panjang dalam ruang sastera kita.

Kata Umberto Eco, karya yang baik akan terus “berkumandang selepas noktah”. Cerpen ini, dengan pengakhiran tergantungnya sebenarnya telah membuka ruang resonansi tersebut tetapi perlu disokong oleh binaan dramatik dan emosi yang lebih padat.

Walau bagaimanapun, karya ini merupakan permulaan yang jujur dan seperti judulnya – “Belum Selesai” – perjalanan penulis ini juga masih belum selesai menunggu babak-babak baharu yang lebih matang dalam dunia sastera tanah air.

Oleh Abang Median Abang Said

Continue Reading

Previous: Pemikiran Estetika dalam Sajak
Next: Puisi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.