
KUCHING: Kerajaan Sarawak berharap Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan Jumaat ini memberi tumpuan khusus kepada keperluan sebenar negeri itu, terutamanya dari aspek pembangunan infrastruktur dan sosial.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata perhatian khusus perlu diberikan kepada Sarawak dalam Belanjawan Persekutuan, bagi memastikan pembangunan yang lebih seimbang di seluruh negara.
“Harapan kita supaya mengambil kira keadaan Sarawak, khususnya dari persepktif infrastuktur dan kita berkehendakkan banyak peruntukan, selain khidmat awam termasuk perumahan.
“Dan (Timbalan Premier Sarawak) Dr Sim (Kui Hian) juga mahukan pusat kanser cepat (disiapkan) supaya perkhidmatan kesihatan kita dapat dipertingkat,” katanya dalam ucapan pada perasmian IPO Prospectus Insights Analytics Berhad di sini, hari ini.
Belanjawan 2026 bakal dibentangkan di Parlimen pada Jumaat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga menjadi agenda utama pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat yang berlangsung bermula Isnin ini hingga Disember depan.
Anwar dilaporkan sebelum ini berkata penyediaan belanjawan akan disesuaikan dengan keutamaan ekonomi setiap negeri, dan tidak hanya ditentukan pada peringkat kementerian, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang seimbang serta menangani isu kos sara hidup rakyat.
Sementara itu, Abang Johari mendoakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan berjalan lancar susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri itu semalam.
“Proses demokrasi Kerajaan Sabah telah memasuki peringkat akhir, jadi saya doakan yang terbaik untuk mereka,” katanya.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, berkuat kuasa semalam.
Pilihan raya kali ini akan menyaksikan pertandingan bagi semua 73 kerusi DUN.- Bernama