
KUCHING: Sarawak menegaskan komitmennya untuk menjadi pemain global dalam mitigasi perubahan iklim melalui pelaksanaan Strategi Sifar Bersih (Net Zero Strategy) dan Pelan Karbon Negeri, berasaskan kekayaan sumber semula jadi serta inovasi teknologi hijau.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Sarawak kini berada di landasan kukuh untuk menyertai pasaran karbon antarabangsa, hasil dasar progresif dan pengurusan sumber alam yang mampan.
“Sarawak perlu membuat langkah yang berani. Kita sedar bahawa ini merupakan masalah global, dan kita mesti membantu dunia dalam usaha mengurangkan kesan perubahan iklim, sekurang-kurangnya di rantau ini.” katanya ketika berucap pada majlis Hari Terbuka Strategi Sifar Bersih & Pelan Karbon Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Tambah beliau, Sarawak kini mengekalkan 62 peratus kawasan hutan negeri sebagai aset karbon semula jadi, termasuk hutan hujan tropika dan hutan bakau yang berperanan penting sebagai penyerap karbon.
“Kajian saintifik menunjukkan hutan bakau mampu menyerap tiga kali ganda karbon berbanding pokok biasa.
“Langkah itu membolehkan Sarawak memperkukuh pelaksanaan ‘carbon trading regime’ di bawah undang-undang negeri, menjadikannya negeri pertama di Malaysia mempunyai kerangka perundangan sendiri bagi perdagangan karbon.
“Sarawak memiliki aset semula jadi seperti hutan, hutan bakau dan kepelbagaian biologi yang boleh dibangunkan melalui teknologi baharu untuk membantu dunia menangani dan mengurangkan kesan perubahan iklim.” jelasnya.
Beliau mengulas lanjut bahawa Sarawak juga kini bekerjasama dengan Bank Dunia bagi menentukan formula dan struktur harga karbon yang tepat bagi pasaran antarabangsa, sebagai langkah awal ke arah ekonomi karbon rendah.
“Pendekatan Sarawak bukan hanya memelihara hutan semata-mata, tetapi turut melibatkan strategi jangka panjang untuk menyeimbangkan pembangunan ekonomi dengan perlindungan alam sekitar.
“Kita mengorbankan hasil daripada pembalakan untuk mengekalkan hutan kita sebagai takungan karbon.
“Pihak yang mencemarkan alam sekitar mesti membayar, dan kita telah bersedia dengan rangka kerja perundangan serta kewangan yang sesuai bagi perdagangan karbon,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan strategi itu sebagai usaha berani Sarawak untuk menyumbang kepada kestabilan iklim global, selaras dengan Artikel 6 di bawah Perjanjian Paris 2015 yang mengawal perdagangan karbon antarabangsa.
Oleh Masrin Affirah