Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Osteoporosis ‘penyakit senyap’ yang boleh meragut nyawa – Dr. Sim
  • KESIHATAN

Osteoporosis ‘penyakit senyap’ yang boleh meragut nyawa – Dr. Sim

Utusan Sarawak 1 month ago
DATUK Amar Dr. Sim Kui Hian berucap pada sambutan Hari Kesedaran Osteoporosis Sedunia di Hospital Umum Sarawak, Kuching hari ini. Foto Adele Rissa 

KUCHING: Penyakit osteoporosis bukan sekadar masalah tulang rapuh, sebaliknya satu ancaman senyap yang memberi kesan besar terhadap pesakit serta keluarga mereka, kata Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.

Beliau berkata, ramai tidak menyedari bahaya penyakit ini sehingga berlaku patah tulang, terutamanya tulang pinggul yang boleh membawa kepada komplikasi serius dan kematian.

“Osteoporosis ialah penyakit senyap. Kita tidak sedar sehinggalah tulang patah, dan apabila tulang pinggul patah, antara 25 hingga 50 peratus pesakit meninggal dunia dalam tempoh setahun. Sebab itu saya kata keadaan ini tidak boleh diterima,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Kesedaran Osteoporosis Sedunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, hari ini.

Menurutnya, kadar kejadian patah tulang pinggul di Malaysia kini hampir menyamai kadar serangan strok, namun masih kurang diberi perhatian berbanding penyakit jantung, kencing manis dan tekanan darah tinggi.

“Kita tahu tentang strok dan serangan jantung, tetapi bila seseorang patah pinggul, orang anggap perkara itu biasa. Sedangkan kesannya besar. Bukan sahaja kepada pesakit, tetapi juga seluruh keluarga,” tambah beliau.

Dr. Sim menjelaskan bahawa laporan menunjukkan tiga daripada lima wanita berusia 50 tahun ke atas berisiko mengalami patah tulang akibat osteoporosis dalam kehidupan mereka.

Malaysia juga dijangka mencatat peningkatan kes patah tulang pinggul tertinggi di Asia menjelang 2050.

Beliau menggesa agar kesedaran dan langkah pencegahan dimulakan lebih awal dengan memeriksa tahap vitamin D, mengambil kalsium secukupnya serta mengamalkan gaya hidup aktif.

DATUK Amar Dr. Sim Kui Hian ketika ditemui media selepas sambutan Hari Kesedaran Osteoporosis Sedunia di Hospital Umum Sarawak, Kuching hari ini. Foto Adele Rissa 

Dalam pada itu, beliau turut memuji inisiatif HUS yang menubuhkan Perkhidmatan Perantara Kecederaan Tulang (Fracture Liaison Service) sejak 2023, iaitu pendekatan bersepadu yang melibatkan pakar pelbagai bidang seperti ortopedik, geriatrik, endokrinologi, fisioterapi dan farmasi bagi memastikan pesakit osteoporosis menerima rawatan menyeluruh.

Dalam sidang media selepas majlis perasmian, Dr. Sim turut menyuarakan keprihatinan terhadap kekurangan sumber tenaga kerja dalam sektor kesihatan negeri.

“Hospital Umum Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya 100 pegawai perubatan tambahan. Di peringkat negeri, Sarawak masih kekurangan kira-kira 11,000 jawatan kesihatan termasuk doktor dan jururawat,” dedahnya.

Walaupun berdepan kekangan tersebut, beliau memuji semangat dan dedikasi petugas kesihatan yang tetap berusaha memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas.

“Ramai petugas kita bekerja dua kali ganda. Inilah wira sebenar yang berkhidmat dalam diam — sama seperti pesakit osteoporosis yang menderita secara senyap,” katanya.

Oleh Adele Rissa

Continue Reading

Previous: Projek SAYANG perkasa komuniti tangani isu kesihatan mental
Next: Klinik kesihatan baharu dibina di Lubok Antu, dijangka siap Ogos 2027

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.