KUALA LUMPUR: Peniaga kekal berhati-hati terhadap prestasi perniagaan mereka dengan petunjuk keyakinan yang lebih baik iaitu -21.0 peratus pada suku ketiga 2020 berbanding -25.2 peratus pada suku sebelumnya.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, jangkaan prestasi perniagaan itu dipengaruhi oleh ketidaktentuan ekonomi akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia pada masa kini.
“Kesemua sektor menjangkakan perniagaan yang kurang menggalakkan pada suku ketiga 2020. Petunjuk keyakinan bagi sektor pembinaan bertambah baik kepada -23.7 peratus berbanding -75.0 peratus yang direkodkan pada suku tahun sebelumnya.
“Sektor perdagangan borong dan runcit dan perkhidmatan turut meramalkan prestasi perniagaan yang lebih baik dengan masing-masing -22.3 peratus dan -14.6 peratus pada suku tahun rujukan berbanding -51.5 peratus dan -27.8 peratus pada suku kedua 2020,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau memaklumkan dapatan Statistik Kecenderungan Perniagaan bagi suku ketiga 2020 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan hari ini mengenai jangkaan prestasi perniagaan bagi suku tahun dan enam bulan akan datang.
Sementara itu, sektor Industri meramalkan penurunan ketara iaitu -24.0 peratus pada suku tahun ini berbanding -8.2 peratus pada suku tahun sebelumnya.
“Antara kesemua subsektor itu, tiga subsektor optimistik terhadap sentimen perniagaan iaitu subsektor komunikasi, insurans dan teknologi maklumat & komunikasi (ICT),” katanya.
Secara keseluruhan, 37.2 peratus responden meramalkan peningkatan dalam hasil kasar mereka bagi suku ketiga 2020 manakala 29.8 peratus menjangkakan penurunan hasil kasar yang mendorong kepada imbangan bersih +7.5 peratus.
Dari segi bilangan pekerja, trend pengambilan pekerja diramal merosot pada suku ketiga 2020 dengan imbangan bersih -7.1 peratus.
“Bagi tempoh enam bulan akan datang, peniaga meramalkan situasi perniagaan yang lebih baik walaupun dalam trajektori negatif bagi tempoh Julai hingga Disember 2020 dengan imbangan bersih -11.2 peratus berbanding -42.8 peratus pada suku tahun sebelumnya,” kata Mohd Uzir.
Sektor industri dan perkhidmatan menjangkakan penambahbaikan yang ketara dengan imbangan bersih masing-masing -7.9 peratus dan -4.8 peratus pada tempoh rujukan berbanding -26.7 peratus dan -44.7 peratus pada suku tahun lepas.
Pada masa yang sama, sektor perdagangan borong dan runcit turut meramalkan prestasi perniagaan yang lebih baik dengan imbangan bersih -34.2 peratus berbanding -81.2 peratus pada suku tahun lepas.
Sementara itu, sektor pembinaan menjangkakan prestasi perniagaan mereka tidak berubah dengan imbangan bersih 0.0 peratus. – Bernama