

POLIS berjaya menahan seorang lelaki selepas tular dalam video berdurasi lebih dua minit kerana mengacukan parang sambil mengeluarkan kata-kata ugutan dalam dialek Melanau di laman facebook. Foto IPD
MUKAH: Seorang lelaki yang tular dalam video berdurasi lebih dua minit kerana mengacukan parang sambil mengeluarkan kata-kata ugutan dalam dialek Melanau di laman Facebook, ditahan polis petang semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, video berkenaan pada mulanya disiarkan secara ‘live’ oleh pemilik akaun Facebook bernama Syawal Mohamad, sebelum tular di media sosial.
Menurutnya, laporan polis dibuat oleh mangsa berusia 34 tahun yang bekerja di sebuah syarikat swasta, selepas berasa terancam dengan ugutan tersebut.
“Bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Mukah berjaya menahan suspek berusia 36 tahun kira-kira 5.30 petang hari sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, polis turut merampas sebilah parang, telefon bimbit, sebuah kereta, topeng muka dan pakaian yang digunakan semasa rakaman berkenaan.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek, yang bekerja sebagai pemandu e-hailing, negatif dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 507B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958,” katanya.
Beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat hari ini bagi membantu siasatan lanjut.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak memuat naik atau mengeluarkan sebarang kenyataan di media sosial yang boleh menimbulkan kegusaran awam.
Sebarang maklumat berkaitan kes boleh disalurkan ke Talian Hotline IPD Mukah di 084-871222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Oleh Tarani Lanting