
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan sudah menerima dokumen penghakiman penuh daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung keputusan tatatertib isu dokumentasi kelayakan tujuh pemain kebangsaan.
FAM memaklumkan bahawa dengan penerimaan dokumen tersebut, mereka akan mengemukakan rayuan secara rasmi melalui saluran undang-undang yang ditetapkan. FAM menegaskan dokumen dan bukti sokongan telah lengkap dan sedia dikemukakan kepada FIFA dengan kadar segera.
Menurut FAM, badan induk itu memandang serius beberapa kesimpulan, terutama dakwaan bahawa para pemain memperoleh dokumen palsu atau dengan sengaja cuba mengelak peraturan kelayakan.
“FAM menegaskan bahawa tiada sebarang bukti yang menyokong dakwaan tersebut. Segala dokumentasi dan penyerahan berkaitan kelayakan pemain telah disediakan, disahkan dan diuruskan sepenuhnya oleh FAM mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Pada setiap masa, para pemain bertindak dengan penuh niat baik, bergantung sepenuhnya kepada proses pengesahan dan pendaftaran yang dijalankan oleh FAM,” demikian menurut kenyataan FAM hari ini.
Pada masa sama, FAM menegaskan kekal komited mempertahankan kepentingan bola sepak negara, melindungi hak pemain, dan memastikan proses dijalankan secara telus serta mengikut peraturan.
“FAM akan menggunakan segala saluran undang-undang yang ada untuk memperjuangkan kes ini. Kes ini juga melibatkan maklumat rasmi berhubung prosedur Kerajaan Malaysia bagi pengeluaran dan pengesahan pasport.
“Selaras dengan peruntukan Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Pasport 1966, sebarang pendedahan berkaitan bahan atau proses tersebut tanpa kebenaran adalah dilarang sama sekali. Justeru FAM terikat secara undang-undang untuk mengekalkan kerahsiaan elemen-elemen tersebut,” menurut kenyataan itu.
FAM juga memaklumkan bahawa maklumat berkenaan hanya akan dikongsi dengan FIFA bagi tujuan kes ini.
Bulan lepas, FAM dan tujuh pemain warisan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
FIFA menerusi kenyataan memaklumkan FAM menyerahkan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain, sekali gus membolehkan mereka diturunkan dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lepas.
Tujuh pemain warisan yang dikenakan tindakan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Sehubungan itu, FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan tersebut.- Bernama