
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersetuju memberi insentif tunai kepada semua atlet yang memenangi pingat pada Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) ke-22 tanpa mengira negeri, menjadikan Sarawak negeri pertama melaksanakan dasar keterangkuman sepenuhnya dalam sejarah temasya itu.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, langkah bersejarah itu mencerminkan keprihatinan Premier Sarawak terhadap komuniti pekak dan komitmen kerajaan negeri terhadap prinsip keterangkuman.
“Premier Sarawak bukan sahaja bersetuju memberi insentif kepada atlet Sarawak, tetapi kepada semua atlet SOPMA dari seluruh negara.
“Ini kali pertama dalam sejarah insentif seperti ini dilaksanakan, satu manifestasi semangat ‘leaving no one behind’,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan SOPMA di sebuah hotel terkemuka di Kuching, hari ini.

Menurut Fatimah, kadar insentif yang diluluskan ialah RM5,000 bagi pingat emas, RM2,000 (perak) dan RM1,000 (gangsa), berdasarkan rujukan pemberian terdahulu pada 2016 dan garis panduan Pulau Pinang.
Katanya, surat cadangan rasmi telah diserahkan kepada Premier Sarawak pada malam sebelumnya, sebelum mendapat kelulusan bertulis dengan tandatangan beliau.
“Insentif ini bukan hanya sekadar penghargaan kepada atlet, tetapi pengiktirafan terhadap semangat juang dan ketabahan luar biasa yang ditunjukkan oleh komuniti pekak sepanjang temasya ini,” tambahnya.
Fatimah berkata, pengumuman itu juga membuktikan bahawa dasar keterangkuman kerajaan negeri bukan sekadar slogan, tetapi diterjemahkan melalui tindakan nyata yang memberi impak langsung kepada rakyat.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua kontinjen, khususnya Sabah yang muncul juara keseluruhan, serta kontinjen Sarawak yang melebihi sasaran lapan pingat emas ditetapkan.
“Alhamdulillah, tidak ada negeri yang pulang tangan kosong. Ini kejayaan bersama dan bukti bahawa sukan mampu menyatukan rakyat merentasi sempadan wilayah dan bahasa,” katanya.
Fatimah turut menzahirkan penghargaan kepada semua pegawai, sukarelawan dan petugas teknikal yang bertungkus lumus menjayakan penganjuran temasya selama seminggu itu.
Oleh Shahrul Qaizat