
SIMANGGANG: Persatuan serta pertubuhan lain diseru mencontohi inisiatif Persatuan Hopoh Sarawak Cawangan Sri Aman yang berjaya menganjurkan majlis berkonsepkan kekeluargaan dan kebersamaan, sekali gus memperkukuh keharmonian masyarakat pelbagai lapisan.
Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata, usaha persatuan tersebut wajar dijadikan contoh kerana bukan sahaja memberi manfaat kepada ahli tetapi turut menyediakan platform untuk mempererat hubungan antara komuniti.
“Majlis seperti ini menunjukkan semangat perpaduan dan kebersamaan yang tinggi dalam kalangan ahli.
“Saya berharap lebih banyak persatuan tampil dengan inisiatif serupa bagi memperkukuh keharmonian dan semangat muhibah dalam masyarakat,” katanya semasa berucap pada Majlis Merarau Persatuan Hopoh Sarawak Cawangan Sri Aman dekat sini hari ini.

Majlis tersebut turut menyaksikan pelbagai pengisian termasuk Majlis Angkat Sumpah Ahli Persatuan bagi badan induk, seksyen pemuda dan wanita; penyampaian penghargaan warga emas, insentif pelajar cemerlang, serta penyerahan angpau kepada warga emas.
Pada majlis berkenaan, Harden yamg juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang turut meluluskan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi 2026 berjumlah RM10,000 kepada badan induk Persatuan Hopoh Sarawak Cawangan Sri Aman, serta RM5,000 masing-masing kepada seksyen Pemuda dan Wanita sebagai bantuan kewangan kepada persatuan.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Pemanca Lee Siang Hua, selaku Pengerusi Persatuan Hopoh Sarawak Cawangan Simanggang dan Kaunselor Chin Li Li, Pengerusi Penganjur atas kejayaan menganjurkan majlis yang memberi impak positif kepada masyarakat setempat.
Turut hadir ialah Presiden Kehormat Persatuan Hopoh Sarawak, Dato Sri Chai Then Boon, Presiden Persatuan Hopoh Sarawak, Temenggong Liew Shak Sen, Timbalan Presiden Persatuan Hopoh Sarawak, Dato Lee Chi Hui, Naib Presiden Persatuan Hopoh Sarawak, Liew Toh Sen dan Datin Liew Hui Lin.
Oleh Adi Safarman