Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Sekitar 1,000 pelancong terperangkap di Gunung Everest akibat ribut salji – Laporan
  • GLOBAL

Sekitar 1,000 pelancong terperangkap di Gunung Everest akibat ribut salji – Laporan

Utusan Sarawak 8 hours ago
GAMBAR fail AFP

BEIJING: Sekitar 1,000 pelancong dilaporkan terperangkap di cerun timur Gunung Everest di Tibet berikutan salji lebat yang menyukarkan usaha menyelamat, lapor media China pada Ahad menurut Sputnik/RIA Novosti.

Ribut salji terburuk dalam beberapa tahun kebelakangan ini bagi awal Oktober dilaporkan bermula pada Sabtu di cerun timur Everest, dengan jarak penglihatan merosot mendadak kepada kurang daripada satu meter, menurut akhbar Sanxiang Dushibao.

Pelancong di Everest Base Camp terperangkap akibat jalan diselaputi ais dan terpaksa berlindung di dalam khemah, menurut laporan itu. Di beberapa kawasan, salji turun begitu lebat sehingga khemah tertimbus sepenuhnya, manakala yak yang membawa bekalan juga tidak dapat bergerak.

Beberapa pelancong berjaya menyelamatkan diri daripada cuaca buruk itu, namun dianggarkan sekitar 1,000 orang masih terperangkap di kawasan pergunungan dan memerlukan bantuan, menurut Sanxiang Dushibao. Sebahagian daripada mereka mengalami hipotermia dan berada dalam keadaan serius, menurut laporan itu lagi.

Pasukan penyelamat tempatan, penduduk kampung serta pemandu gunung profesional kini sedang menuju ke kem berkenaan, namun gangguan komunikasi dan timbunan salji tebal menjadikan operasi menyelamat amat sukar, menurut laporan itu.

Pasukan penyelamat dan penduduk tempatan turut mengerahkan jentera berat untuk membersihkan salji bagi sampai ke kem yang terletak pada ketinggian 4,900 meter (16,000 kaki) dari aras laut, menurut akhbar berkenaan.

Pihak berkuasa tempatan menasihatkan orang ramai yang merancang untuk melawat kawasan itu dalam masa terdekat agar menangguhkan perjalanan dan sentiasa mengikuti pengumuman rasmi.- Bernama-Sputnik/Ria Novosti

Continue Reading

Previous: Penyelidik hasilkan yogurt menggunakan semut berdasarkan resipi tradisional

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.