Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Festival Cahaya Warisan dan Flora Kuching 2025 serikan bandar raya, bangunan ikonik DBKU berwajah baharu
  • TEMPATAN

Festival Cahaya Warisan dan Flora Kuching 2025 serikan bandar raya, bangunan ikonik DBKU berwajah baharu

Utusan Sarawak 2 days ago
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merakamkan gambar kenangan selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Festival Cahaya Warisan dan Flora Kuching 2025 di sini, malam ini. Foto Shikin Mahmud

KUCHING: Suasana malam di Tebingan Sungai Kuching bertambah meriah apabila Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menyempurnakan Majlis Pelancaran Festival Cahaya Warisan dan Flora Kuching 2025 di sini, malam ini.

Kemuncak majlis menyaksikan pelancaran sistem pencahayaan ikonik di tiga lokasi utama di Bangunan Ibu Pejabat Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Bukit Siol, Tebingan Sungai Kuching serta E-Penambang yang menandakan satu lagi langkah ke arah memperindah wajah malam Bandaraya Kuching.

MERIAH… Pertunjukan bunga api turut mewarnai langit pada Majlis Pelancaran Festival Cahaya Warisan dan Flora Kuching 2025 di sini, malam ini. Foto Shikin Mahmud

Pertunjukan bunga api turut mewarnai langit, mencipta suasana gemerlapan dan menggamit tumpuan ribuan pengunjung yang hadir menyaksikan acara bersejarah itu.

Dalam majlis sama, Bangunan DBKU di Bukit Siol, salah satu mercu tanda kebanggaan bandar raya ini, turut tampil berwajah baharu dengan pemasangan sistem pencahayaan hiasan bewarna merah, hijau, biru dan putih (RGBW) serta pancaran laser merah, hijau dan biru (RGB) yang menyerlahkan keseluruhan bangunan berkenaan.

MERIAH… Suasana malam di Tebingan Sungai Kuching meriah pada Majlis Pelancaran Festival Cahaya Warisan dan Flora Kuching 2025 di sini, malam ini. Foto Shikin Mahmud

Gabungan teknologi pencahayaan moden itu bukan sahaja menonjolkan keunikan seni bina pejabat DBKU pada waktu malam, malah menjadikannya pusat tumpuan baharu yang memukau pandangan warga kota serta pelancong.

Bangunan DBKU telah beroperasi di Bukit Siol selama 32 tahun dan terus menjadi simbol identiti serta kebanggaan Bandaraya Kuching.

Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman berkata, penganjuran festival itu merupakan manifestasi komitmen DBKU dalam membangunkan bandar raya yang indah, berdaya huni dan kreatif.

MERIAH… Suasana malam di Tebingan Sungai Kuching meriah pada Majlis Pelancaran Festival Cahaya Warisan dan Flora Kuching 2025 di sini, malam ini. Video Shikin Mahmud

“Melalui festival ini, kita ingin menonjolkan gabungan cahaya dan flora yang memperindah suasana serta memberikan pengalaman visual yang memukau kepada pengunjung. Ia juga melambangkan keharmonian antara manusia, alam dan warisan budaya asas kepada identiti Bandaraya Kuching,” katanya.

Festival yang berlangsung hingga 8 Oktober 2025 turut diserikan dengan Pameran Floral Festival, mempamerkan hasil seni hiasan flora yang mencerminkan kreativiti serta daya seni masyarakat tempatan.

Inisiatif pencahayaan ini sejajar dengan aspirasi DBKU untuk memperindah landskap bandar raya melalui pendekatan berasaskan inovasi, teknologi dan kelestarian, selaras dengan visi Bandar Pintar Kuching ke arah mewujudkan persekitaran bandar yang ceria, inklusif dan dinamik.

Festival dibuka kepada orang ramai dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam di Tebingan Sungai Kuching  dan kemasukan adalah percuma.


Oleh Shikin Mahmud

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Komeng Sri ungguli Regata Simunjan 2025, bawa pulang RM20,000
Next: Wilfred Yap calls for more study before increasing lorry weight limits

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.