
LUBOK ANTU: Lelaki berusia 36 tahun yang dilaporkan hilang ketika mandi-manda di kawasan berhampiran Jambatan Gantung Hidro Empangan Batang Ai petang tadi, ditemui meninggal dunia, malam ini.
Menurut Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan, mangsa yang dikenali sebagai Budak Tom, ditemui oleh pasukan Penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan di lokasi kejadian.
“Pasukan PPDA memulakan operasi selaman pada 6.52 petang. Pada selaman pertama kira-kira 10 minit kemudian, mangsa dijumpai pada kedalaman lima meter dalam keadaan tertiarap, kira-kira 30 meter dari tebing sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa sebelum itu dilaporkan hilang selepas sempat meminta tolong daripada isterinya ketika mandi di kawasan berkenaan sebelum dibawa arus deras.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak menerima panggilan kecemasan pada 3.29 petang dan loceng kecemasan dibunyikan tidak lama kemudian.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong bergegas ke lokasi sejauh 69 kilometer (km) dengan kekuatan 10 anggota termasuk pasukan PPDA.

Operasi turut dibantu oleh anggota dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lubok Antu, dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Komander Operasi, Abg Muhd Fhazil Abg Abdul Manaf berkata, operasi dimulakan sebaik pasukan tiba di lokasi pada 4.39 petang dan dikawal sepenuhnya sekitar 7.00 malam sebelum ditamatkan pada 7.30 malam.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke Hospital Sri Aman bagi proses bedah siasat.
JBPM menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati serta mengelakkan aktiviti air di kawasan empangan atau sungai yang berarus deras terutama pada musim hujan.
Oleh Adi Safarman