
MAINZ (Jerman): Bau buah durian yang kuat mencetuskan beberapa siri operasi bomba di bandar Wiesbaden, barat Jerman, apabila pasukan bomba dipanggil empat kali kerana kebimbangan orang ramai mengenai kebocoran gas, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Bau durian dari Asia Tenggara seumpama bau gas.
Pada petang semalam, bomba dimaklumkan mengenai laporan sebuah pusat beli-belah yang mempunyai bau gas. Alat pengukuran mereka bagaimanapun, tidak mengesan kehadiran gas, malah bangunan itu tiada sambungan gas.
Pada awal malam, perkhidmatan kecemasan dipanggil ke pasar itu sekali lagi, dengan bau gas dapat dihidu sekali lagi. Semasa mencari di beberapa kedai berhampiran, anggota bomba dilaporkan menemui buah-buahan itu di sebuah pasar raya Asia. Sistem pengudaraan pusat beli-belah itu berkemungkinan menyebarkan bau ke seluruh bangunan, menurut mereka.
Dalam satu lagi operasi di bangunan kediaman lewat malam tadi, bomba mendapati sebiji durian menjadi pencetus bau gas di sana.
-Bernama