
Mohamed Salah bergelut mempamerkan prestasi terbaik ketika kekalahan Liverpool di Chelsea. – Foto AFP
LONDON: Arne Slot mengakui Liverpool masih dalam proses pembentukan selepas juara Liga Perdana Inggeris itu terus bergelut, tewas buat kali ketiga berturut-turut dengan kekalahan 2-1 kepada Chelsea awal pagi tadi.
Untuk kali kedua dalam tempoh seminggu, misi mempertahankan kejuaraan Liverpool tergugat akibat kekalahan di saat akhir.
Selepas tewas pada detik terakhir menentang Crystal Palace minggu lalu, pasukan Slot sekali lagi dikecewakan apabila Estevao Willian menjaringkan gol kemenangan dramatik pada masa kecederaan di Stamford Bridge.
Moises Caicedo terlebih dahulu meletakkan Chelsea di depan menerusi rembatan jarak jauh yang mengagumkan, sebelum Cody Gakpo menyamakan kedudukan pada babak kedua.
Selepas memulakan musim dengan tujuh kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan, Liverpool kini mengalami kejatuhan mendadak — tewas kepada Palace, kemudian Galatasaray dalam saingan Liga Juara-Juara pertengahan minggu, sebelum kekalahan terbaru di London barat.
Ini merupakan kali pertama Liverpool tewas tiga perlawanan berturut-turut sejak 2023, ketika Jurgen Klopp masih mengendalikan pasukan dan mengalami kekalahan kepada Bournemouth, Real Madrid, dan Manchester City.
Bagi Slot sendiri, ini adalah kali pertama dalam karier pengurusannya dia mengalami tiga kekalahan berturut-turut.
Walaupun Liverpool menang pada awal musim, beberapa keputusan tersebut sebenarnya diselamatkan oleh jaringan lewat yang menutup kelemahan dalam persembahan pasukan.
Slot berkata pasukannya masih belum mencapai tahap sebenar berikutan perubahan besar pada musim panas serta tragedi kematian penyerang Portugal, Diogo Jota, dalam kemalangan kereta di Sepanyol.
Liverpool membelanjakan lebih £400 juta (RM2.7 bilion) untuk membawa masuk Alexander Isak, Florian Wirtz, dan beberapa pemain lain, namun dua pemain bintang itu masih gagal menyerlah.
“Anda tidak akan terus mencapai tahap ideal. Anda perlu bekerja keras untuk sampai ke tahap tertentu, dan sukar mengekalkannya kerana anda menentang pasukan berkualiti lain,” kata Slot.
“Kami membuat banyak perubahan pada musim panas. Pemain datang pada masa berbeza, dan sejak beberapa minggu ini kami hampir tiada masa untuk berlatih. Kami masih perlu sesuaikan mereka dengan gaya permainan kami.
“Jika kami seri hari ini, saya akan anggap ia permulaan yang baik musim ini, memandangkan apa yang berlaku pada musim panas lalu.”
‘Bukan masalah tiada keserasian’
Liverpool hanya mencatat satu percubaan tepat selepas 51 minit menentang Chelsea, yang turut berdepan masalah kecederaan dan penggantungan pemain utama di benteng pertahanan.
Walaupun Chelsea tewas dua perlawanan liga sebelum ini, Liverpool gagal mengambil kesempatan.
“Kekalahan yang mengecewakan lagi, itu jelas. Kami cipta tiga peluang besar pada separuh masa pertama, mereka hanya ada satu dan berjaya menjaringkannya,” kata Slot, yang akan menentang Manchester Unitedselepas rehat antarabangsa.
“Saya suka cara kami bermain pada separuh masa kedua. Kami cipta peluang mencukupi untuk menjaringkan lebih daripada satu gol. Ada ketika saya fikir kami akan menang.
“Kami tidak membuat hantaran terakhir dengan baik. Pada minit-minit akhir permainan, kedua-dua pasukan boleh menang — dan Chelsea berjaya lakukannya.”
Penyerang Sweden Isak dan bintang Mesir Mohamed Salah sekali lagi gagal menemui keserasian di barisan hadapan, namun Slot tetap optimis mereka akan serasi tidak lama lagi.
“Semakin mereka bermain bersama, semakin mereka akan memahami antara satu sama lain. Saya terpaksa mengeluarkan Ibrahima Konate kerana mengalami masalah otot paha.
“Apabila Ryan Gravenberch mula bermain di posisi itu, kami dapat mencipta lebih banyak peluang untuk pemain menyerang. Ia bukan masalah tiada keserasian, tetapi kami perlu lebih baik dalam fasa membina serangan — dan kami berjaya tingkatkan itu di separuh masa kedua.”
Sementara itu, pengurus Chelsea Enzo Maresca tidak menghadiri sidang media selepas perlawanan kerana dilayangkan kad merah susulan larian meraikan kemenangan bersama pemain di tepi padang.
“Dia ok. Malangnya dia tidak dapat hadir kerana kad merah itu, tetapi dia sangat gembira selepas perlawanan,” kata pembantunya, Willy Caballero.
“Kami menahan emosi beberapa minggu kebelakangan ini kerana bermain dengan baik tetapi tidak menang. Hari ini sangat penting bagi kami.” – AFP