
LONDON, United Kingdom: Kemenangan 2-0 Arsenal ke atas West Ham dalam saingan Liga Perdana Inggeris dicemari kebimbangan apabila kapten pasukan, Martin Odegaard, sekali lagi terpaksa dikeluarkan awal akibat kecederaan.
Pemain tengah Norway itu mencatat rekod tidak diingini apabila menjadi pemain pertama dalam sejarah liga yang digantikan sebelum separuh masa dalam tiga perlawanan berturut-turut yang dimulakan sebelum ini menentang Leeds dan Nottingham Forest akibat masalah bahu.
Odegaard, 26, baru sahaja menunjukkan prestasi cemerlang ketika menewaskan Olympiakos 2-0 dalam aksi Liga Juara-Juara pertengahan minggu. Namun, aksinya di Emirates terhenti pada minit ke-30 selepas insiden perlanggaran lutut dengan pemain West Ham, Crysencio Summerville.
“Saya rasa berlaku pertembungan lutut ke lutut dan dia terus tidak selesa,” kata pengurus Mikel Arteta.
“Saya baru bercakap dengannya dan dia tidak positif. Dia memakai pelindung lutut selepas perlawanan.”
Arteta mengakui pasukannya mungkin perlu mencari alternatif sekiranya kecederaan Odegaard berlarutan.

“Kita perlu tunggu dan lihat sejauh mana keadaannya. Sudah tentu kehilangan dia memberi kesan kerana dia kapten dan memainkan peranan besar dalam serangan.”
Walaupun dilanda kecederaan pemain utama, Arteta sempat meraikan perlawanan ke-300 sebagai pengurus Arsenal yang kini mendahului liga dengan satu mata selepas Liverpool tewas 2-1 kepada Chelsea.
“Saya berterima kasih kepada barisan kejurulatihan saya sejak hari pertama. Kemenangan ini bermakna dan kami akan manfaatkan rehat antarabangsa ini untuk bersedia menghadapi cabaran yang lebih besar selepas ini.” -AFP