Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Liverpool alami kekalahan ketiga berturut-turut 
  • SUKAN

Liverpool alami kekalahan ketiga berturut-turut 

Utusan Sarawak 3 days ago

Pengurus Chelsea, Enzo Maresca (kanan), meraikan kemenangan bersama para pemainnya, namun tindakannya itu menyebabkan beliau dilayangkan kad merah. Foto AFP

LONDON: Liverpool mengalami kekalahan ketiga berturut-turut apabila jaringan saat akhir Estevao Willian menghadiahkan kemenangan 2-1 kepada Chelsea dalam aksi Liga Perdana Inggeris sebentar tadi.

Pasukan bimbingan Arne Slot dikejutkan dengan penyudah jarak dekat Estevao pada detik akhir di Stamford Bridge, selepas gol separuh masa kedua Cody Gakpo berjaya menyamakan kedudukan yang terhasil daripada rembatan menarik Moises Caicedo untuk Chelsea.

Selepas permulaan musim yang sempurna dengan tujuh kemenangan dalam semua pertandingan — termasuk lima dalam liga — Liverpool kini melalui tempoh suram dengan kekalahan mengejut kepada Crystal Palace, Galatasaray, dan kini Chelsea.

Selepas tewas kepada Palace pada minit-minit terakhir minggu lalu, kekalahan kali ini sekali lagi menyakitkan buat Liverpool, yang sebelum ini terkenal dengan jaringan lewat yang sering menyelamatkan mereka awal musim ini.

Gol-gol lewat itu bagaimanapun hanya menutup kelemahan sebenar pasukan yang masih bergelut untuk serasi selepas perbelanjaan besar Slot pada pra-musim.

Sekali lagi, skuad di tangga kedua itu gagal mempamerkan prestasi seperti musim lalu yang membawa mereka ke takhta liga, meskipun telah membelanjakan lebih £400 juta (RM2.7 bilion) untuk pemain baharu.

Mereka kini kehilangan tempat teratas kepada Arsenal, yang naik satu mata di atas selepas menewaskan West Ham lewat malam tadi.

Kemenangan dramatik Chelsea pula melonjakkan mereka ke tangga keenam dan menyelamatkan jurulatih Enzo Maresca daripada kekalahan liga ketiga berturut-turut.

Aksi dramatik di Stamford Bridge

Chelsea membuka jaringan pada minit ke-14 melalui detik magis Caicedo.

Selepas Liverpool hilang bola dengan mudah, pemain Ecuador itu merampas peluang dan melepaskan rembatan padu ke penjuru atas dari luar kotak penalti — gol ketiganya musim ini.

Liverpool, yang kelihatan bergelut, hampir dibolosi sekali lagi apabila Alejandro Garnacho melepaskan rembatan melengkung yang terkena tiang, manakala Mohamed Salah dan Alexander Isak gagal memanfaatkan peluang yang ada.

Slot cuba mengubah rentak pada separuh masa kedua dengan memasukkan Florian Wirtz, yang hampir mencipta gol buat Salah — namun bintang Mesir itu mensia-siakan peluang.

Liverpool akhirnya menyamakan kedudukan pada minit ke-66 apabila Dominik Szoboszlai menghantar lintasan ke kawasan bahaya dan Gakpo menolak masuk dari jarak dekat.

Namun, Chelsea kembali mendominasi di penghujung permainan.

Penjaga gol Liverpool, Giorgi Mamardashvili, menyelamatkan beberapa percubaan bahaya daripada Jamie Gittens dan Estevao, sebelum tandukan Enzo Fernandez terkena tiang.

Usaha berterusan mereka membuahkan hasil dalam masa tambahan, apabila Marc Cucurella menghantar bola lintang rendah yang disambar Estevao untuk menjaringkan gol kemenangan dari sudut sempit.

Kegembiraan meluap-luap menyaksikan Maresca berlari meraikan bersama pemainnya di tepi padang — tindakan yang menyebabkan beliau dilayangkan kad merah.

Sementara itu, Slot kelihatan kecewa dan terpaku di garisan padang ketika menyedari kekalahan ketiga berturut-turut pasukannya. – AFP

Continue Reading

Previous: Arsenal lonjak ke puncak liga
Next: Malam gemilang Arteta, dicemari kecederaan Odegaard

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.