
SIMANGGANG: Kementerian Pengangkutan akan memperluas pembangunan taman lalu lintas di seluruh negeri di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memastikan setiap bahagian di Sarawak mempunyai sekurang-kurangnya satu taman lalu lintas sebagai pusat pembelajaran keselamatan jalan raya.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata usaha ini adalah sebahagian daripada pelan jangka panjang kementerian bagi memperkukuh pendidikan keselamatan jalan raya secara praktikal dan interaktif, bermula dari peringkat sekolah rendah.
“Kami mahu setiap bahagian di Sarawak mempunyai taman lalu lintas yang aktif dan berfungsi sebagai pusat pembelajaran masyarakat.

“Ini penting agar pendidikan keselamatan jalan raya dapat dinikmati secara meluas, termasuk oleh komuniti luar bandar,” katanya ketika berucap pada Pertandingan Trafik Sarawak (STG) Peringkat Bahagian Sri Aman 2025 yang diadakan di Taman Lalu Lintas Sri Aman, pagi tadi.
Lee berkata, Taman Lalu Lintas Sri Aman yang dibina pada 2007 telah dinaik taraf dengan peruntukan RM150,000 bagi menjayakan penganjuran STG kali ini.
Ia merupakan salah satu daripada enam taman lalu lintas utama di Sarawak bersama Kuching, Sibu, Sarikei, Bintulu dan Miri yang menerima peruntukan khas daripada kementerian.
Beliau menegaskan bahawa program STG bukan sekadar pertandingan, tetapi platform pendidikan berimpak tinggi yang membolehkan murid memahami peraturan lalu lintas melalui pengalaman simulasi sebenar di jalan raya.
“Apabila mereka melakukan kesalahan dan menerima ‘saman’ daripada polis trafik semasa pertandingan, pengalaman itu meninggalkan kesan mendalam.
“Ia mendidik mereka tentang kepentingan mematuhi undang-undang dengan cara yang menyeronokkan dan bermakna,” jelasnya.
Lee menambah, sejak diperkenalkan semula pada 2024 di Miri, STG telah berjaya dianjurkan di empat bahagian lain iaitu Sarikei, Kuching, Sibu dan kini Sri Aman, manakala Bintulu bakal menjadi lokasi penganjuran seterusnya hujung tahun ini.
Menurut beliau, STG disusun dengan tiga objektif utama iaitu kesedaran, penglibatan dan advokasi, bagi melahirkan pelajar yang memahami peraturan lalu lintas, berfikir kritikal serta menjadi duta keselamatan jalan raya di sekolah dan komuniti.
“Kesedaran keselamatan jalan raya mesti dipupuk sejak usia muda. Kanak-kanak bukan sekadar pemandu masa depan, tetapi pengguna jalan raya hari ini sebagai pejalan kaki, penumpang dan penunggang basikal,” ujarnya.
Lee turut mengiktiraf pertandingan pidato keselamatan jalan raya yang diadakan bersama program tersebut, yang menurutnya berjaya mencungkil bakat komunikasi serta meningkatkan kepekaan pelajar terhadap isu keselamatan.


Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada sekolah-sekolah di Bahagian Sri Aman yang aktif mengambil bahagian dalam program itu serta menyatakan keyakinan bahawa dengan kerjasama berterusan antara kerajaan, sekolah dan masyarakat, STG akan terus menjadi agenda tahunan penting bagi membentuk budaya keselamatan jalan raya di Sarawak.
“Kepada para pelajar, hari ini bukan soal menang atau kalah. Hari ini adalah tentang belajar menjaga keselamatan diri, orang tersayang dan pengguna jalan raya lain. Jadilah ejen perubahan, suarakan keselamatan dan tunjukkan teladan,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Dr Jerip Susil, Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh, Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman Abdul Rahman Muhiyuddin dan tetamu kenamaan lain.
Oleh Adi Safarman