
KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menjadi pihak berkuasa tempatan pertama menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Pencegahan Kekejaman terhadap Haiwan Sarawak (SSPCA) bagi melaksanakan Program Rintis Tangkap, Kembiri, Vaksin dan Lepas Semula (CNVR) bagi anjing dan kucing komuniti di kawasan Kuching Selatan.
Inisiatif tersebut diumumkan sempena Persidangan Rabies Borneo 2025 yang bertujuan mengawal populasi haiwan terbiar secara berperikemanusiaan, selaras dengan garis panduan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) serta Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan (Pelesenan dan Kawalan Anjing), 2018.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, pelaksanaan program CNVR itu bukan sahaja membantu mengawal bilangan haiwan jalanan tetapi turut menyokong usaha pencegahan penyakit rabies di bandar raya ini.
Beliau turut mengingatkan pemilik haiwan peliharaan khususnya anjing dan kucing agar bertanggungjawab dengan memastikan haiwan mereka diberi vaksin rabies dan mematuhi undang-undang kecil sedia ada dengan memiliki lesen anjing yang sah.

“Pemilikan haiwan secara bertanggungjawab amat penting dalam memastikan kejayaan program ini serta melindungi kesihatan awam daripada ancaman wabak rabies,” katanya.
Program CNVR tersebut akan dipantau dan dinilai selepas setahun pelaksanaannya bagi menilai keberkesanan serta impaknya terhadap kawalan populasi haiwan terbiar dan pencegahan rabies di kawasan pentadbiran MBKS.