Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • TVET terus jadi pemacu kemahiran negara – Roland Sagah
  • PENDIDIKAN

TVET terus jadi pemacu kemahiran negara – Roland Sagah

Utusan Sarawak 2 days ago
RAKAM KENANGAN…  Sharifah Fariah Syed Junaidi mewakili Dato Sri Roland Sagah Wee Inn pada majlis Penangguhan Hari TVET Negara Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik (SMT) Zon Sarawak 2025 di Dewan Sri Mutiara, Kolej Vokasional Matang, Kuching hari ini.

PETRA JAYA: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini bukan lagi dianggap sebagai pilihan kedua, sebaliknya menjadi arus perdana dalam sistem pendidikan negara bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu memenuhi keperluan industri semasa.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, TVET memainkan peranan penting dalam menyediakan generasi muda yang berkemahiran tinggi, kreatif serta berdaya saing, seiring dengan kemajuan teknologi dan Revolusi Industri 4.0.

“Data rasmi menunjukkan lebih 400,000 pelajar aktif sedang mengikuti pelbagai bidang pengajian TVET di seluruh negara, dengan lebih 170,000 pendaftaran baharu direkodkan pada 2024. Angka ini jelas membuktikan keyakinan rakyat terhadap hala tuju pendidikan TVET,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Pegawai Pentadbiran Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Sharifah Fariah Syed Junaidi, pada majlis Penangguhan Hari TVET Negara Kolej Vokasional (KV) dan Sekolah Menengah Teknik (SMT) Peringkat Zon Sarawak 2025, yang berlangsung di Dewan Sri Mutiara, Kolej Vokasional Matang, di sini, hari ini.

Menurut beliau, graduan TVET kini mencatatkan kadar kebolehpasaran yang tinggi, dengan ramai dalam kalangan mereka telah diserap ke dalam sektor utama seperti elektrik dan elektronik, automotif, pembinaan, hospitaliti, teknologi maklumat dan pertanian moden.

“Malah syarikat-syarikat besar seperti Proton, Petronas, Tenaga Nasional, Sime Darby serta rakan teknologi global seperti Microsoft dan Infineon amat mengalu-alukan tenaga kerja mahir daripada aliran TVET.

“Mereka tidak hanya mencari sijil di atas kertas, tetapi kemahiran sebenar yang lahir daripada latihan praktikal, kreativiti, disiplin dan sikap kerja yang tinggi dan inilah kelebihan utama pelajar TVET,” ujarnya.

Dalam konteks pembangunan semasa, jelasnya, usaha memperkukuh ekosistem TVET menjadi agenda besar kerajaan menerusi Majlis TVET Negara yang menekankan kerjasama erat antara kementerian, agensi, institusi pendidikan dan industri.

“Kita perlu melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang bukan sahaja mahir, tetapi juga fleksibel serta mampu beradaptasi dengan perubahan teknologi yang pantas.“Hanya dengan kerjasama pasukan yang padu, kita dapat memastikan generasi TVET terus mengisi keperluan tenaga kerja negara,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut berpesan kepada para pelajar agar berbangga dengan pilihan mereka untuk menceburi bidang TVET kerana ia bukan sekadar laluan akademik, tetapi jalan sebenar menuju kejayaan yang memberi manfaat kepada diri, keluarga dan negara.

“Jadilah insan yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, tetapi juga beradab dan berkeperibadian mulia. Kejayaan sebenar bukan sekadar diukur dengan sijil atau gaji besar, tetapi dengan nilai dan sumbangan kita kepada masyarakat,” katanya.

Oleh Shikin Mahmud

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Hari TVET Negara platform perkukuh agenda pendidikan kemahiran
Next: STEM Pencetus Perubahan: Pandu Puteri Sarawak sasar lahir pemimpin berdaya saing

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.