



OPERASI mencari dan menyelamat di lokasi runtuhan bangunan di sekolah berasrama Islam Al Khoziny di Sidoarjo, wilayah Jawa Timur, pada 3 Oktober 2025, selepas sebuah bangunan bertingkat di sekolah tersebut runtuh. Foto AFP
JAKARTA: Angka korban insiden runtuhan sebuah sekolah berasrama di Indonesia meningkat kepada 14 orang setakat Sabtu, ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan dengan bantuan jentera berat bagi mengesan puluhan mangsa yang masih tertimbus.
Bangunan sekolah tersebut runtuh secara tiba-tiba pada Isnin lalu ketika para pelajar sedang berkumpul untuk menunaikan solat Asar. Menurut Ketua Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), Suharyanto, sembilan lagi mayat ditemui pada Jumaat, menjadikan jumlah keseluruhan korban kini seramai 14 orang.
“Setakat hari ini, seramai 49 individu masih dilaporkan hilang,” katanya dalam satu kenyataan kepada media tempatan yang disiarkan oleh Kompas TV, hari ini.
Pasukan penyelamat kini menggunakan jentera berat bagi mempercepatkan kerja-kerja pembersihan dan pencarian mangsa, susulan penemuan mayat terbaru malam tadi.
“Kami kini memberi tumpuan kepada operasi pembersihan berskala besar dengan penggunaan jentera berat yang dibawa masuk ke kawasan runtuhan,” tambah Suharyanto.
Penduduk sekitar memaklumkan bahawa gegaran akibat runtuhan turut dirasai di kawasan kejiranan berdekatan, menyebabkan panik dalam kalangan komuniti setempat.
Punca kejadian masih dalam siasatan, namun laporan awal pakar menunjukkan kemungkinan struktur bangunan tidak dibina mengikut piawaian keselamatan yang sepatutnya.
Operasi SAR turut berdepan cabaran apabila satu gempa bumi berlaku pada malam Selasa, memaksa operasi dihentikan sementara demi keselamatan pasukan penyelamat.Pihak berkuasa sebelum ini mematuhi tempoh 72 jam atau ‘tempoh emas’ untuk menyelamatkan mangsa yang masih hidup. Bagaimanapun, selepas tempoh itu berakhir pada Khamis, keluarga mangsa bersetuju untuk membenarkan penggunaan jentera berat dalam operasi. – AFP