SIBU: Perayaan Kuih Bulan bukan hanya melambangkan kekayaan warisan budaya masyarakat Cina, malah mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negeri ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, penganjuran festival ini turut menghimpunkan pemimpin masyarakat, penghulu serta penduduk pelbagai kaum yang hadir bersama bagi meraikan tradisi yang diwarisi sejak turun-temurun.
“Nilai utama perayaan Kuih Bulan bukan hanya pada jamuan atau kemeriahannya, tetapi pada semangat saling menghormati, bertolak ansur serta mengukuhkan silaturahim dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.

“Kalau perpaduan tidak dapat dicapai, apa-apa perayaan atau majlis sekalipun tidak akan dapat diraikan dengan sempurna. Sebaliknya, jika kita dapat duduk semeja, menghormati adat, budaya dan agama masing-masing, itulah keharmonian sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Festival Kuih Bulan Parti Demokratik Progresif (PDP) Sibu Jaya, malam tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong itu berkata, contoh jelas dapat dilihat pada penganjuran festival kali ini yang menyaksikan semua kaum hadir bersama tanpa mengira latar belakang, sekali gus mencerminkan keunikan Sarawak sebagai negeri yang harmoni.

Dalam pada itu, Tiong turut mengingatkan agar rakyat menolak sikap perpecahan berasaskan kaum, agama atau politik yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.
“Kalau kita tidak saling menghormati, negara akan terjejas, tetapi jika kita terus bersatu padu, bukan sahaja keharmonian akan terpelihara, malah ekonomi negara juga dapat berkembang,” tegasnya.
Tambahnya, sambutan Kuih Bulan tahun ini sekali lagi menjadi platform penyatuan masyarakat pelbagai kaum, dengan semua pihak berganding bahu menjayakan program berkenaan.
Turut hadir ADUN Bawang Assan dan Naib Presiden Kanan PDP Dato Sri Wong Soon Koh, Pengerusi PDP Bahagian Dudong Datuk Teo Boon Siew, Pengerusi PDP Cawangan Sibu Jaya merangkap pengerusi penganjur, Kaunselor Paul Teo.
Oleh Akun Giman