Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • 23 sukarelawan Malaysia GSF dijangka diterbangkan dalam tempoh 48 jam
  • SEMASA

23 sukarelawan Malaysia GSF dijangka diterbangkan dalam tempoh 48 jam

Utusan Sarawak 6 days ago
KETUA Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Datuk Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery memberikan taklimat keadaan terkini rakyat Malaysia yang ditahan pada sidang media di Pusat Gerakan Sumud Nusantara (SNCC) hari ini. Foto Bernama

SEPANG: Kesemua 23 peserta Malaysia Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini ditahan Israel, dijangka diterbangkan dari Ashdod dalam tempoh 48 jam.

Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata perkembangan baik itu susulan usaha berterusan yang dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku penaung Sumud Nusantara dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan.

“Dengan usaha yang dimainkan oleh Perdana Menteri dan Presiden Turkiye, SNCC menjangkakan fasa untuk menerbangkan mereka dari Ashdod akan berlaku dalam tempoh 48 jam lagi,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Sani Araby berkata ketika ini, proses rundingan diplomatik pada tahap maksimum antara Perdana Menteri bersama dengan pimpinan Turkiye, Qatar dan Amerika Syarikat serta beberapa negara rakan strategik bagi memastikan pembebasan segera peserta Malaysia yang ditahan.

“Insya-Allah dalam sedikit masa lagi, kita dapat menjemput mereka (peserta) pulang ke Malaysia, mungkin melalui Ankara ataupun Istanbul,” katanya. 

Sani Araby berkata usaha membawa pulang rakyat Malaysia itu akan diketuai oleh kerajaan Turkiye dan perkembangan baik itu dimaklumkan sendiri oleh Anwar kepada beliau pada 8.10 pagi tadi.

“Beliau (Anwar) bukan sahaja memberikan komitmen penuh, tetapi juga memaklumkan bahawa usaha membawa pulang sedang berjalan.

“Beliau (Anwar) sendiri telah menghubungi berkali-kali Presiden Erdogan, Presiden Qatar serta pihak Amerika Syarikat,” katanya.

Sani Araby berkata Perdana Menteri juga memberikan jaminan bahawa beliau akan mengetuai sendiri proses terbabit dengan sokongan langsung Presiden Turkiye dan peranan aktif Kementerian Luar.

Beliau berkata Malaysia bersama-sama Turkiye dijangka menjadi antara negara pertama yang akan membawa pulang rakyat masing-masing. 

Sani Araby berharap seluruh rakyat Malaysia meneruskan doa dan melihat objektif utama misi GSF, iaitu mendesak perang dihentikan, kebuluran ditamatkan dan membuka koridor kemanusiaan segera untuk memastikan bantuan dapat disalurkan.

“Insya-Allah dengan doa dan sokongan semua, kita dapat pastikan keselamatan peserta serta meneruskan perjuangan untuk Palestin,” katanya.

Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.

Kementerian Luar sebelum ini mengesahkan kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai GSF telah ditahan Israel dan akan dihantar pulang melalui negara ketiga.

-Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Tun Wan Junaidi, Toh Puan Fauziah selamat tiba di Kuala Lumpur
Next: GSF: Tiada rakyat Malaysia berada di atas kapal Marinette

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.