Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Makna jihad sebenar menurut al-Quran dan sunnah
  • RENCANA
  • TEMPATAN

Makna jihad sebenar menurut al-Quran dan sunnah

Utusan Sarawak 4 days ago
RIBUAN warga Terengganu berhimpun di perkarangan Masjid Kampung Rusila sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan Sumud Flotilla. Foto BERNAMA

KATA jihad sering menjadi bualan masyarakat, namun ada segelintir yang tidak memahami maksud sebenarnya.

Ada yang menganggap jihad hanya sekadar peperangan, sedangkan hakikat jihad dalam Islam jauh lebih luas dan mendalam.

Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW telah menjelaskan makna jihad secara seimbang, meliputi perjuangan menentang hawa nafsu, menegakkan kebenaran, mempertahankan agama, dan menyebarkan kebaikan di muka bumi. 

Dalam suasana dunia hari ini, memahami jihad secara tepat amat penting agar umat Islam tidak terjebak dalam kekeliruan atau penyalahgunaan istilah ini.

Malah, jihad yang paling utama sebenarnya bermula daripada diri kita sendiri, iaitu jihad melawan hawa nafsu.

Perjuangan ini bukanlah mudah kerana nafsu sering mengajak manusia kepada kelalaian dan maksiat.

Sebagaimana Allah SWT menegaskan dalam surah al-Ankabut ayat 69 yang bermaksud: “Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama orang-orang yang berbuat baik.” 

Jelas bahwa jihad bukan bererti berperang, tetapi ia juga termasuk usaha menundukkan hawa nafsu agar seiring dengan tuntutan Allah SWT.

Rasulullah SAW juga pernah bersabda selepas pulang daripada peperangan kecil: “Kita baru sahaja kembali dari jihad kecil menuju jihad besar.” Para sahabat bertanya: “Apakah jihad besar itu, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Jihad melawan hawa nafsu.” (Riwayat al-Baihaqi)

Hadis ini menegaskan bahawa jihad melawan nafsu adalah jihad yang paling besar dan berterusan.

Tanpa kemampuan mengawal nafsu, seorang Muslim mudah terjerumus ke dalam dosa, sekali gus melemahkan agamanya.

Antara contoh jihad melawan nafsu pada hari ini termasuklah menahan diri daripada terjebak dengan riba, mengawal diri daripada pengaruh media sosial yang melalaikan, menjaga lidah daripada fitnah, serta menentang rasa malas dalam menunaikan ibadah. Inilah jihad yang wajib dilakukan oleh setiap Muslim tanpa mengira usia dan keadaan.

JIHAD MEMPERTAHANKAN AGAMA TANGGNGJAWAB UMAT ISLAM

Selain jihad melawan nafsu, terdapat juga jihad mempertahankan agama apabila umat Islam diancam.

Inilah jihad yang sering difahami sebagai “perang” tetapi perlu difahami dalam kerangka yang lebih luas dan beradab.

Justeru, jihad bersenjata hanya dibenarkan untuk mempertahankan diri, agama dan maruah umat Islam.

Bersesuaian dengan firman Allah SWT di dalam al-Quran: “Dan perangilah di jalan Allah SWT orang yang memerangi kamu, tetapi janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (surah al-Baqarah ayat 190)

Islam sama sekali tidak mengizinkan penindasan, pembunuhan orang tidak berdosa, atau tindakan yang melampaui batas.

Rasulullah SAW turut menegaskan dalam sebuah hadis sahih riwayat al-Bukhari: “Barangsiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya, maka dia mati syahid. Barang siapa yang mati kerana mempertahankan keluarganya, maka dia mati syahid. Barang siapa yang mati kerana mempertahankan agamanya, maka dia mati syahid. Dan barang siapa yang mati kerana mempertahankan darahnya, maka dia mati syahid.” 

Namun dalam konteks dunia moden, jihad bukan semata-mata bererti mengangkat senjata. Antara bentuk jihad yang releven pada hari ini ialah jihad ilmu dengan menuntut dan menyebarkan kebenaran, jihad dakwah dengan menyeru kepada akhlak mulia, jihad ekonomi dengan membebaskan diri daripada cengkaman riba, serta jihad sosial dengan membela golongan lemah dan miskin. 

Dalam dunia serba mencabar hari ini, umat Islam perlu memahami jihad dalam kerangka yang betul, sebagai satu perjuangan menyeluruh untuk menegakkan kebenaran, menentang kezaliman, dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Inilah jihad yang sebenar, yang membawa keberkatan di dunia dan ganjaran syurga di akhirat.

Saidina Umar Al-Khattab sangat mengambil berat ke atas rakyatnya

SAIDINA Umar bin Al Khattab sangat memberatkan kehidupan rakyatnya. Beliau mahukan rakyatnya kaya sedangkan kehidupannya sendiri miskin.

Beliau mahu rakyatnya kenyang sedangkan perut beliau sendiri berlapar. Sedangkan beliau mampu untuk hidup kaya raya kerana ekonomi kerajaan Islam ketika itu sangat kukuh.

Kerajaan Islam di bawah pemerintahan Saidina Umar bin Al Khattab adalah sebuah kerajaan yang sangat kaya.

Namun kehidupan khalifahnya tidak ubah seperti orang miskin. Keadaan inilah yang sangat dikagumi oleh setiap orang.

Abdullah bin Abbas pernah bercerita, “Pada suatu hari, Umar bin Khattab memanggil aku. Maka aku pun memenuhi panggilannya.

Ketika aku menemuinya, aku dapati di hadapannya terdapat satu hamparan dari kulit yang di atasnya terdapat emas-emas bertaburan seperti jerami.

Umar berkata, “Kemarilah, bahagikanlah (emas-emas) ini kepada kaummu. Allah Maha Mengetahui kenapa Dia menjauhkan (emas-emas) ini dari NabiNya dan dari Abu Bakar, lalu memberikannya padaku. Aku tidak tahu apakah ini akibat baik untukku atau akibat yang buruk”.

Maka aku pun mengasingkan emas-emas itu. Tiba-tiba aku terdengar suara tangisan. Ternyata Umar yang sedang menangis sambil berkata, “Tidak, demi Zat yang jiwaku berada di dalam genggamanNya, Dia tidak menahannya dari Nabi dan dari Abu Bakar kerana menginginkan keburukan bagi mereka dan Dia juga tidak memberikannya kepada Umar kerana menginginkan kebaikan untuknya!”.

Telah diriwayatkan bahawa pada suatu hari, anak Saidina Umar bin Al Khattab iaitu Ummul Mukminin Saidatina Hafsah datang menemui Saidina Umar bin Al Khattab.

Saidatina Hafsah tidak tahan melihat ayahnya yang hidup sangat sederhana dan terlalu bersikap zuhud.

Lantas Saidatina Hafsah berkata kepada ayahnya, “Allah telah menganugerahkan kebaikan dan melapangkan rezeki untuk ayah. Alangkah baiknya sekiranya ayah memakan makanan yang lebih enak dari ini dan mengenakan pakaian yang lebih bagus dari pakaian ini?”.

Maka Saidina Umar bin Al Khattab pun menjawab, “Aku akan membuatmu menjadi hakim i untuk menghakimi dirimu sendiri”.

Setelah itu, Saidina Umar bin Al Khattab menceritakan tentang kehidupan susah yang pernah dialami oleh Rasulullah SAW.

Saidina Umar bin Al Khattab terus menceritakan tentang perihal kehidupan baginda hingga membuat Saidatina Hafsah menitiskan air mata.

Kemudian, Saidina Umar bin Al Khattab berkata, “Aku mempunyai dua orang sahabat yang berjalan di satu jalan. Jika aku menempuh jalan yang susah, aku berharap semoga aku bertemu dengan mereka berdua dengan kehidupan yang makmur di negeri akhirat kelak”. (Riwayat Ahmad)

Oleh Hanzalah Azman

Continue Reading

Previous: Karnival TVET Sarawak 2025 bakal berlangsung tiga hari di Simanggang November ini
Next: Dari resipi ibu ke destinasi kulinari: Siti Payung ikon kek lapis Miri

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.