

OPERASI SAR memasuki hari kedua hari ini masih belum membuahkan hasil menemukan Tumbu Landa. Foto: BBP Sri Aman
SRI AMAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua bagi mengesan seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu di Rumah Rengkang, Lepong Empeliau Ulu, masih belum membuahkan hasil.
Mangsa, Tumbu Landa, 67, yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU kategori masalah pembelajaran), dilaporkan keluar dari rumah sekitar 5.00 petang pada 30 September lalu dengan memakai baju berwarna putih dan kain biru, namun tidak pulang sehingga keluarganya membuat laporan polis.
Menurut Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan, operasi hari kedua yang bermula seawal 8.00 pagi tadi melibatkan pelbagai agensi keselamatan dan penduduk kampung.
“Pasukan operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I, Chimiam Duyu dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman bersama sembilan anggota bergerak ke lokasi sebelum sesi taklimat bersama agensi lain dikendalikan pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi pencarian dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan tumpuan di kawasan kebun mangsa serta radius sehingga tiga kilometer di belakang rumah panjang.
Unit Pengesan K9 JBPM bersama anjing pengesan Daisy turut digerakkan dalam misi tersebut.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintenden Dennis Bunyam yang tiba tengah hari tadi, mengambil alih sebagai Komander Operasi SAR. Namun, selepas pencarian intensif sepanjang hari, mangsa masih belum ditemui.
Operasi disertai oleh 10 anggota bomba, pasukan Unit K9, sembilan anggota polis, lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), serta kira-kira 25 penduduk kampung yang turut membantu dalam usaha pencarian.
Operasi ditangguhkan pada 5.00 petang dan akan disambung semula esok pada 8.30 pagi. Mangsa masih dilaporkan belum ditemui setakat ini.
Oleh Adi Safarman