Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • FDS nafi halang SUHAKAM jalankan siasatan di Ulu Baram, tegas hormati prosiding mahkamah
  • MAHKAMAH

FDS nafi halang SUHAKAM jalankan siasatan di Ulu Baram, tegas hormati prosiding mahkamah

Utusan Sarawak 1 week ago
GAMBAR hiasan.

KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak (FDS) menafikan dakwaan Peguam Roland Engan yang mendakwa jabatan itu menghalang Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) daripada menjalankan siasatan di Ulu Baram.

FDS dalam kenyataan semalam menegaskan pihaknya tidak pernah menyekat SUHAKAM, sebaliknya hanya memberi respons terhadap permintaan penangguhan lawatan oleh Ketua Kaum Joseph Sedin dari Ba Data Bila.

Menurut jabatan itu, nasihat turut diberikan kepada SUHAKAM serta pejabat daerah berkaitan memandangkan aduan yang dikemukakan sudah pun menjadi subjek prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Miri.

“Seksyen 12(3) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 jelas menyatakan bahawa sekiranya sesuatu aduan menjadi subjek mana-mana prosiding mahkamah, siasatan suruhanjaya hendaklah dihentikan serta-merta,” jelas kenyataan itu.

FDS berkata sebarang siasatan selari berisiko menjejaskan proses kehakiman dan boleh dianggap menghina mahkamah atau subjudis. Justeru, jabatan itu menasihatkan supaya sebarang inkuiri dijalankan hanya selepas kes berkenaan diselesaikan di Mahkamah Tinggi Miri.

Kenyataan itu turut menolak aduan dan siaran media bersama yang dikeluarkan kumpulan yang digelar ‘komuniti Penan tidak dikenali’ bersama SAVE Rivers Sdn Bhd dan KERUAN, yang didakwa berunsur subjudis dan berpotensi mengganggu prosiding mahkamah.

“Langkah tersebut bukan sahaja mengelirukan masyarakat umum, malah menimbulkan perpecahan dalam kalangan komuniti Penan di Ulu Baram serta mengganggu struktur pentadbiran tempatan,” tegas FDS.

SUHAKAM tetap meneruskan pertemuan dengan beberapa komuniti di Long Selaan, termasuk yang berkaitan dengan kes tersebut, biarpun telah diberi nasihat.

FDS menambah, meskipun usaha itu dilakukan dengan niat baik, semua pihak termasuk badan bukan kerajaan perlu menghormati batas undang-undang serta integriti proses kehakiman.

 Selain itu, pihak FDS akan terus komited menegakkan undang-undang dan menjaga ketelusan urusan dengan komuniti peribumi serta melindungi integriti prosiding kehakiman.

Tags: mahkamah

Continue Reading

Previous: Wanita didenda RM6,000 guna kad pengenalan orang lain tuntut MyKasih
Next: Ahli kimia sahkan darah pada helaian kertas diari sepadan DNA Zara Qairina

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.