
MALUDAM: Penyerahan tapak projek di Kampung Sungai Bedaun, Maludam hari ini menjadi bukti bahawa setiap usaha pembangunan yang dilaksanakan bukan sekadar acara simbolik, tetapi permulaan kepada perubahan nyata yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat setempat.
Majlis penyerahan tapak itu disempurnakan oleh Kaunselor Bakri Eni yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor bersama pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), kontraktor pelaksana serta Pejabat Daerah Kecil Maludam.
Projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Lingga ini diyakini mampu memperkukuhkan infrastruktur asas, sekali gus meningkatkan taraf hidup penduduk di kawasan berkenaan.
Menurut Dayang Noorazah, setiap projek yang dibawa ke kawasan ini adalah hasil usaha berterusan untuk memastikan masyarakat luar bandar turut merasai limpahan pembangunan sama seperti di kawasan bandar.
“Penyerahan ini bukan sekadar simbolik, tetapi adalah titik tolak kepada usaha bersama dalam membina kemudahan yang lebih baik untuk rakyat.
“Saya mahu melihat setiap projek benar-benar dilaksanakan dengan telus, cepat dan berkesan,” katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya kerjasama antara pihak kerajaan, jabatan pelaksana, kontraktor dan komuniti setempat agar setiap projek dapat berjalan lancar serta memenuhi keperluan masyarakat.
Pendekatan selangkah demi selangkah, ADUN Lingga menegaskan komitmennya untuk terus membawa pembangunan seimbang di kawasan Lingga, sambil memastikan kesejahteraan dan kemajuan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
Oleh Adi Safarman