Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Bahasa Melayu perlu diperkasa sebagai bahasa ilmu merentasi bidang teknikal, sains
  • PENDIDIKAN

Bahasa Melayu perlu diperkasa sebagai bahasa ilmu merentasi bidang teknikal, sains

Utusan Sarawak 3 days ago
GAMBAR hiasan.

ARAU: Bahasa Melayu perlu diperkasakan sebagai bahasa ilmu merentasi bidang teknikal dan sains sejak peringkat sekolah rendah supaya generasi muda yakin akan keupayaan bahasa itu setanding bahasa global untuk memelihara jati diri bangsa dalam menghadapi cabaran globalisasi.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahasa berkenaan, ialah warisan bangsa dan simbol kedaulatan negara yang perlu terus diperkasakan agar kekal relevan dalam bidang ilmu, inovasi dan teknologi.

Sehubungan itu, baginda bertitah usaha seperti penganjuran Seminar Bahasa: Memperkasakan Bahasa Melayu Dalam Bidang Teknikal harus diperluas supaya bahasa Melayu tidak sekadar megah di laman sendiri tetapi mampu bersaing dan diiktiraf pada peringkat dunia sebagai bahasa ilmu yang berwibawa.

“Penganjuran seminar ini selari dengan aspirasi negara untuk memperkukuh penggunaan istilah teknikal dalam bahasa Melayu serta mengangkatnya ke peringkat antarabangsa. Penglibatan pelbagai pihak menunjukkan komitmen bersama dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang unggul.

“Saya juga berharap agar seminar ini tidak sekadar menjadi platform wacana tetapi menjadi titik tolak kepada gerakan yang lebih menyeluruh dan berterusan dalam memperkukuh penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai disiplin teknikal termasuk kejuruteraan, sains, teknologi maklumat dan bidang profesional lain,” titah baginda. 

Baginda yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bertitah demikian ketika berkenan merasmikan seminar bahasa itu di Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra di sini hari ini.

Seminar bahasa itu anjuran Institut Kajian Strategik dan Komuniti (IKSK) UniMAP serta Fakulti Perniagaan dan Komunikasi (FPK) UniMAP, dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah mahasiswa dan mahasiswi perlu berani menggunakan bahasa Melayu dalam penulisan dan penyelidikan, kerana mereka berperanan sebagai perintis yang memperkaya bahasa dengan istilah baharu.

“Dengan kreativiti generasi ini, bahasa Melayu berpotensi untuk bersaing pada peringkat global dan menjadi bahasa ilmu yang dihormati di dunia,” titah baginda.

Selain itu, baginda bertitah kerjasama erat antara institusi pengajian tinggi, industri dan badan bahasa penting untuk membina istilah teknikal yang seragam serta teguh, dan sinergi itu akan memperkukuh ekosistem ilmu, menjadikan bahasa Melayu sebagai jambatan kemajuan dan meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa dalam era Revolusi Industri 4.0.

-Bernama

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: 950 pelajar SMK Kai Chung dididik bahaya penipuan dalam talian
Next: Pendidikan terus jadi keutamaan, kemudahan sekolah dinaik taraf

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.