
SARATOK: Program Gotong-Royong Mega sempena Program Cuci Malaysia yang berlangsung serentak di seluruh negara turut mendapat sambutan hangat di Pekan Saratok baru-baru ini dengan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik yang turut hadir bersama komuniti setempat menyifatkan program itu sebagai wadah penting untuk memperkukuhkan silaturahim serta semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di daerah berkenaan.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada Majlis Daerah Saratok (MDS) atas inisiatif menganjurkan program berimpak tinggi yang berjaya menghimpunkan warga komuniti, termasuk pelajar sekolah, ahli majlis serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).

“Program seperti ini bukan sekadar membersihkan Kawasan tetapi berperanan besar sebagai platform penyatuan di mana masyarakat tanpa mengira kaum atau latar belakang dapat bersama-sama menjayakan aktiviti bermakna,” katanya.
Friday turut menggesa masyarakat agar terus memupuk rasa tanggungjawab menjaga kebersihan alam sekitar demi kelestarian kehidupan dan kesejahteraan generasi akan datang.
Menurutnya, budaya gotong-royong perlu menjadi amalan berterusan bukan hanya pada musim tertentu.

Beliau menegaskan usaha ini juga seiring dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Sarawak yang menekankan tiga teras utama, khususnya menjadikan alam sekitar bersih dan mampan menjelang 2030.
“Komitmen bersama ini akan memastikan Saratok dan seluruh Sarawak mampu melangkah ke arah pembangunan mampan dengan mengutamakan kesejahteraan rakyat serta kelestarian alam sekitar,” tambah beliau.
Friday menambah, kehadiran pelbagai pihak ini membuktikan komitmen bersama bahawa semangat gotong-royong bukan sekadar tradisi, sebaliknya platform kukuh dalam membina keharmonian sosial serta memperteguh perpaduan masyarakat berbilang kaum di Saratok.
Program berkenaan turut disertai oleh Pegawai Daerah Saratok, Mohamad Dino Amid, Setiausaha MDS, Mc Crea Joseph Pererra, wakil ADUN Kalaka, Gapor Ahmad serta wakil pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan dan komuniti tempatan.
Oleh Adi Safarman