
KUCHING: Kerajaan Sarawak dengan sokongan Kerajaan Persekutuan menandatangani Perjanjian Reimbursable Advisory Services (RAS) bersama Bank Dunia sekali gus memulakan kerjasama strategik tiga tahun bagi meningkatkan tadbir urus serta pengurusan kewangan awam negeri.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kerjasama ini membolehkan Sarawak memperoleh khidmat kepakaran Bank Dunia bagi memperkukuh pengurusan syarikat milik kerajaan negeri (SOE) dan menambah baik sistem kewangan awam.
“Reformasi institusi serta penambahbaikan tadbir urus amat penting untuk menjayakan aspirasi Sarawak menjadi negeri maju sepenuhnya menjelang 2030.
“Mencapai matlamat itu memerlukan keberanian membuat perubahan serta kepimpinan yang berwibawa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoA) antara Kementerian Kewangan, kerajaan Sarawak dan Bank Dunia di Hotel Riverside Majestic, hari ini.
Menurut Abang Johari, cabaran utama Sarawak bukan hanya menambah hasil negeri tetapi juga memastikan sumber diurus secara berhemat dan berdisiplin.
Tegasnya, pengurusan kewangan negeri secara berdisiplin akan mencorakkan hasil pembangunan yang sampai kepada rakyat.
“Justeru itu, kepakaran Bank Dunia amat penting dalam usaha kita merombak pengurusan kewangan awam agar seiring dengan amalan terbaik antarabangsa.
“Pengurusan kewangan awam bukan sekadar urusan teknikal sebaliknya menjadi faktor penting yang mempercepat perubahan sektor awam kerana ia mengawal aliran serta catatan sumber,” tambahnya.
Oleh Amanda L