KUCHING: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Sarawak disarankan menggunakan saluran media sosial sebagai landasan untuk menyebarkan maklumat mengenai program dan aktiviti mereka kepada penduduk tempatan.
Pengerusinya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pada masa sekarang ia adalah penting kerana telah diguna secara meluas terutama di kalangan generasi muda.
“Kita perlu memanfaatkan populariti platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan YouTube kerana masyarakat tempatan terutama anak-anak muda selalu menggunakan kemudahan internet untuk mendapatkan maklumat semasa, hiburan, bersosial dengan rakan-rakan dan sebagainya.
“Selain itu, ahli jawatankuasa penyelaras PEMADAM Sarawak harus peka dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini dalam mengatur strategi untuk penglibatan masyarakat dalam era norma baharu ini di mana penggunaan teknologi komunikasi dan populariti Internet harus dipertimbangkan,” katanya.
Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan PEMADAM Sarawak ke-74 bertempat di salah sebuah hotel terkemuka di sini, kelmarin.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Karim meminta ahli ahli jawatankuasa penyelaras tempatan untuk menganda usaha mereka dalam mewujudkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya ancaman penyalahgunaan dadah sambil menjalankan program mengikut norma baharu.
“Kita sekarang hidup dalam norma baharu yang mana harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan Covid-19.
“Sehubungan itu, ahli PEMADAM Sarawak haruslah menjalankan program dan aktiviti kesedaran masyarakat yang mematuhi segala SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa seperti Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBNS) dan Kementerian Kesihatan (KKM) demi menjamin kesihatan dan keselamatan masyarakat,” jelasnya.
Mengulas mengenai perkara berlainan, Menteri Belia dan Sukan itu berkata jumlah ahli jawatankuasa yang ramai menghadiri mesyuarat tahun ini juga menunjukkan komitmen dan sokongan mereka dalam mencapai visi dan misi persatuan walaupun menghadapi cabaran akibat Covid-19.
“Perjuangan kita terhadap penyalahgunaan dadah dan ancamannya tidak akan pernah berhenti walaupun kita dibatasi oleh norma-norma baru tetapi pematuhan terhadap SOP masih penting demi memastikan kesihatan dan keselamatan orang awam selalu terjaga,” ujarnya
Turut hadir Presiden PEMADAM Sarawak yang juga Menteri Muda Undang-Undang, Perhubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.