Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Sarawak timbang geran khas pemburu buaya
  • TEMPATAN

Sarawak timbang geran khas pemburu buaya

Utusan Sarawak 5 days ago
JELASKAN… Datuk Len Talif Salleh ketika ditemui pemberita pada Malam Apresiasi Media anjuran Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (Tegas) di Star on Stage, semalam.

KUCHING: Kerajaan Sarawak tidak menolak kemungkinan untuk menyalurkan geran khas kepada pemburu buaya bagi mengawal populasi reptilia itu yang semakin meningkat di negeri ini.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datuk Len Talif Salleh berkata, walaupun setakat ini permit memburu buaya hanya dikeluarkan secara sukarela, kerajaan akan melihat keperluan menyediakan peruntukan khas bagi tujuan itu.

“Setakat ini kita tidak mempunyai peruntukan untuk memberi geran kepada pemburu buaya. Kebanyakan permit ini dikeluarkan kepada mereka yang berminat secara sukarela untuk memperdagangkan kulit atau daging buaya.

“Tetapi pada masa depan, kita akan lihat (we’ll look into it),” katanya ketika ditemui pemberita pada Malam Apresiasi Media anjuran Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (Tegas) di Star on Stage, di sini, semalam.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Perbadanan Hutan Sarawak (SFC) kini melaksanakan pelbagai langkah mitigasi termasuk pemindahan buaya dari kawasan berisiko tinggi ke habitat khas.

Selain itu, aplikasi Crocwatch yang dilancarkan terus digunakan bagi membolehkan orang awam melaporkan kehadiran buaya, selain memberi akses manual keselamatan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat.

“Dari segi undang-undang, kita sudah mempunyai mekanisme mencukupi. Malah lebih 70 permit memburu buaya telah dikeluarkan, namun hanya dua hingga tiga permit sahaja yang aktif.

“Faktor tabu dalam kalangan masyarakat bumiputera juga menyebabkan aktiviti ini tidak begitu meluas,” jelasnya.

Dalam pada itu, Len Talif turut menekankan bahawa tindakan mengawal populasi buaya perlu dilaksanakan secara seimbang bagi mengelak salah faham seolah-olah kerajaan mahu ‘memerangi’ haiwan berkenaan.

“Kita perlu jelas, ini bukan soal kebencian terhadap haiwan, tetapi soal keselamatan kerana ramai rakyat Sarawak masih bergantung kepada sungai untuk kehidupan seharian mereka,” katanya.

Pada masa yang sama, Len Talif menegaskan bahawa tiada keperluan untuk meminda undang-undang sedia ada kerana peruntukan yang ada ketika ini sudah mencukupi bagi mengawal populasi buaya di Sarawak.

Katanya, mekanisme kawalan telah pun wujud melalui pemberian permit khas memburu buaya, selain pemindahan reptilia tersebut ke habitat yang lebih sesuai tanpa menjejaskan keselamatan manusia.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: TEGAS bangunkan penempatan nomad digital pertama di Malaysia
Next: Fakulti Undang-Undang SEGi Sarawak anjur forum peranan peguam jenayah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.