
MAKSUD ‘palak’ adalah pemimpin, dan jika pemimpin benar-benar tegas, maka rakyat di bawahnya boleh bertindak dengan yakin.
ITU kata-kata Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagi menggambarkan keadaan apabila pemimpin merintis jalan, semua akan ikut.
Yang di-Pertua Negeri memberi kiasan itu apabila menyampaikan Syarahan Negarawan anjuran Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) bertajuk ‘Perjanjian Malaysia 1963: Kunci Keharmonian Persekutuan’ Jumaat lalu.
Katanya, keberanian kepemimpinan Sarawak dalam memperjuangkan hak-haknya seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilihat sebagai lambang maruah dan integriti negeri, bukan satu tuntutan yang melampau.
“Kesedihan kita bukan kerana apa-apa, tetapi kerana Kerajaan Persekutuan telah gagal membantu melaksanakan MA63 sejak 1963.

“Jadi, orang persoalkan kenapa (Sarawak) menuntut terlalu banyak sekarang. Bukan begitu, kerana selama 60 tahun ini, kita tidak pernah menuntut.
“Kelewatan pelaksanaan juga berpunca daripada sebab-sebab teknikal yang menyebabkan MA63 tidak diiktiraf seperti sepatutnya.
“Soalan yang sering ditanya kepada saya ialah, kenapa sekarang dan apakah kesahihan MA63? Maka saya berikan alasannya, seperti kata-kata yang selalu disebut oleh ibu saya, ‘Bila palak matok, baru ekor membelit’.
“Ia bermaksud, jika ‘palak’ (pemimpin) benar-benar tegas, maka rakyat di bawahnya boleh bertindak dengan yakin pada bila-bila masa tanpa rasa takut.
“Apabila pemimpin menunjukkan jalan, semua orang menjadi berani,” tegas beliau, sambil menyatakan bahawa keberanian kepimpinan tertinggi negeri telah memberi inspirasi kepada seluruh jentera untuk bergerak seiring.
Namun, ada pihak pula mempersoalkan tiada perjanjian kuota 35 peratus kerusi Parlimen untuk Sarawak dan Sabah dalam MA63, seperti dinyatakan bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Harun.

Sebelum membicara lanjut isu 35 peratus ini, ada perkara pelik seperti ‘double standard’ melingkari pihak tertentu termasuk Azhar yang lebih dikenali sebagai Art Harun dan peguam, Datuk Zaid Ibrahim.
Berdiam diri isu pemberian khas
Sebagai contoh, mengapa mereka tidak mengambil peduli atau berdiam diri isu Sarawak dan Sabah tidak diberi pemberian khas tahunan seperti termaktub dalam MA63 selama 54 tahun? Ini baru satu contoh.
Dalam program podcast ‘Keluar Sekejap’ pada 16 September 2023 iaitu kira-kira empat bulan sebelum pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi sendiri buat kali pertama mendedahkan isu ini dan tidak pernah disentuh oleh mana-mana pemimpin Kerajaan Persekutuan sebelum ini.
Pada program itulah Wan Junaidi yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) mendedahkan Sarawak dan Sabah banyak tahun tidak diberi pemberian khas tahunan meskipun sudah termaktub dalam MA63.

“Pada 1965, Sarawak diberi RM4 juta, digandakan pada 1966 kepada RM8 juta, manakala pada 1969, diberi RM16 juta tetapi selepas itu dihentikan,” katanya pada program yang dihoskan oleh Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan di Kuala Lumpur sempena sambutan Hari Malaysia 2023.
Sambungnya lagi: “Jumlah itu mungkin mencecah berbilion-bilion sekarang. Kami (Sarawak) telah kehilangan berbilion-bilion sejak 1969.
“Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan menetapkan peruntukan yang munasabah diberikan kepada Sarawak dan Sabah. Ia tertakluk kepada semakan setiap lima tahun sekali,” katanya.
Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan mula mengakui dan mengiktiraf fakta ini apabila awal 2023, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan Pemberian Khas RM300 juta, masing-masing kepada Sarawak dan Sabah bagi memenuhi desakan kedua-dua negeri sejajar dengan tuntutan di bawah MA63.
Jumlahnya dinaikkan pula kepada RM600 juta mulai tahun ini, berbanding RM300 juta sejak November 2023. Namun, ia masih berbentuk sementara atau interim kerana Putrajaya berjanji untuk memberi agihan tetap tahunan.
Bekas Speaker, Azhar, juga seorang peguam pula memberi pandangan mengikut fahamannya sendiri isu 35 peratus kerusi Parlimen untuk Sarawak dan Sabah, tetapi ‘senyap’ pasal pemberian khas tahunan itu.
Kelmarin, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Dato’ Idris Buang berkata dakwaan kononnya Sabah dan Sarawak tidak mempunyai asas perundangan untuk menuntut sepertiga jumlah kerusi Parlimen, sebagai tidak tepat, bercanggah dengan semangat sebenar pembentukan Malaysia.
Idris, bekas Inspektor Polis dan lulusan undang-undang University of Buckingham, United Kingdom berkata, kenyataan itu adalah ‘mengelirukan dan sama sekali salah’ kerana mengabaikan dokumen asas yang menjadi nadi kewujudan Malaysia, iaitu Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, dokumen-dokumen itu bukan sahaja mempunyai nilai sejarah tetapi telah diwartakan dalam rangka perlembagaan negara.
Asas perundangan
“Laporan IGC dimasukkan ke dalam MA63 melalui Artikel VIII, manakala pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 2022 yang memasukkan MA63 dalam Artikel 160 telah mengukuhkan lagi asas perundangan tersebut.
“Justeru, untuk mengatakan bahawa tiada asas undang-undang bagi tuntutan Sabah dan Sarawak adalah tidak benar sama sekali. Sebaliknya, tuntutan ini mempunyai asas yang jelas, bukan sahaja dari segi perundangan, malah juga dari sudut moral dan etika,” katanya dalam kenyataan media.
Azhar dalam audio siar bersama peguam Zaid Ibrahim pada 24 September lalu dipetik sebagai berkata beliau telah menyemak MA63, Perlembagaan Persekutuan, Akta Malaysia 1963 serta laporan oleh Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
“Tiada apa-apa dalam dokumen-dokumen tersebut yang menyatakan bahawa Sabah, Sarawak dan Singapura harus mempunyai 35 peratus daripada kerusi di Dewan Rakyat. Begitu juga, tiada sebarang klausa yang menetapkan bahawa sekiranya Singapura berpisah dari Malaysia, kerusi-kerusinya mesti diberikan kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.
Bagaimanapun, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pandangan tersebut tidak boleh dijadikan rujukan tunggal kerana asas pembentukan Malaysia adalah hasil rundingan panjang serta persetujuan yang melibatkan hak dan perlindungan untuk wilayah Borneo.
“Kalau letak 10 peguam dalam satu bilik, kita akan dapat 10 pandangan berbeza. Azhar seorang peguam dan bekas Speaker, tetapi beliau bukan pensyarah atau profesor undang-undang yang mengkaji secara mendalam mengenai pembentukan negara.
“Saya juga seorang peguam dan saya ada pandangan sendiri dan saya juga ada penyelidikan yang mendalam berkaitan perkara ini, namun, kajian saya itu perlu disokong oleh para penyelidik, profesor serta pensyarah undang-undang,” katanya seperti dilaporkan media.
Kerusi Parlimen tidak boleh dikurangkan tanpa persetujuan
Mengulas lanjut, Idris berkata perenggan 19(2) dalam Laporan IGC secara jelas memperuntukkan bahawa kerusi bagi Sarawak dan Sabah tidak boleh dikurangkan tanpa persetujuan kerajaan negeri masing-masing.
Peruntukan itu, katanya, adalah selaras dengan penekanan Suruhanjaya Cobbold bahawa Sabah dan Sarawak mestilah dilayan sebagai rakan setara (equal partners) dalam Persekutuan Malaysia, dan tidak boleh didominasi oleh Malaya.
“Pada asalnya, jumlah kerusi Dewan Rakyat dinaikkan daripada 104 kepada 159, termasuk 15 untuk Singapura. Sarawak diperuntukkan 24 kerusi, Sabah 16 kerusi, dan Singapura 15 kerusi. Ini menjadikan jumlah kerusi negeri-negeri Borneo bersama Singapura sebanyak 55 kerusi, iaitu 35.48 peratus daripada keseluruhan.
“Namun selepas Singapura keluar dari Malaysia pada 1965, 15 kerusi yang ditinggalkan telah diagihkan semula kepada negeri-negeri di Semenanjung tanpa persetujuan Sabah dan Sarawak, sekali gus menyalahi semangat peruntukan asal IGC.
“Perkara ini jelas bercanggah dengan maksud sebenar perenggan 19(2) IGC yang menekankan bahawa jumlah kerusi negeri-negeri Borneo tidak boleh dikurangkan melainkan dengan persetujuan negeri-negeri berkenaan. Ini adalah pelanggaran yang tidak boleh diabaikan,” katanya.
Anak Melanau berkayuh ke Mukah
Terserempak buaya rasa seram
Surat janji termeterai sudah
Bila dicabuli terasa geram
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak