
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan pihaknya kini menunggu keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung sama ada pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan diteruskan atau sebaliknya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata kuasa untuk menentukan pendakwaan sepenuhnya terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara.
“Saya hanya menunggu daripada Peguam Negara sama ada kes itu akan diteruskan untuk pendakwaan atau tidak, itu sahaja.
“Terpulang kepada beliau (Peguam Negara) tetapi bagi pemulihan aset, kita (SPRM) sudah menjalankan tugas dan kesemua aset berkenaan sudah dipulihkan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Ulang Tahun SPRM ke-58 di Puspanita Puri, di sini hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan wang tunai lebih RM169 juta milik Ismail Sabri dilucutkan hak kepada Kerajaan Malaysia.
Hakim Suzana Hussin membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mahadi Abdul Jumaat, selaku pemohon, memaklumkan tiada pihak ketiga tampil menuntut harta tersebut.
Mahkamah sebelum ini merekodkan bahawa Ismail Sabri dan bekas Setiausaha Politiknya Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus tidak berhasrat mencabar permohonan SPRM.
Notis warta pihak ketiga yang disiarkan pada 22 Sept lepas juga tidak menerima sebarang tuntutan.
SPRM memfailkan permohonan lucut hak itu pada 7 Julai lepas mengikut Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009, selepas berpuas hati wang tunai berkenaan yang disimpan Mohammad Anuar adalah milik Ismail Sabri dan mempunyai kaitan dengan kesalahan di bawah Seksyen 36(2) akta sama.
Jumlah wang berkenaan membabitkan pelbagai mata wang asing, termasuk RM14.77 juta; SG$6.13 juta; USD1.46 juta; CHF3 juta (Swiss franc); EUR12.16 juta; JPY363 juta (yen);GBP£50,250; NZ$44,600; AED34.75 juta (dirham Emiriah Arab Bersatu) dan AUD352,850.
Selain itu, SPRM turut merampas 16 kilogram jongkong emas tulen bernilai kira-kira RM7 juta hasil penggeledahan di kediaman serta premis yang dipercayai dijadikan ‘rumah selamat’ susulan penahanan empat pegawai kanan Ismail Sabri, Februari lepas.
Bekas Perdana Menteri itu juga sudah beberapa kali dipanggil SPRM untuk memberi keterangan berhubung pengisytiharan harta.
-BERNAMA