
PUTRAJAYA: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong akan mula menjalani hukuman penjara selama lapan tahun hari ini selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan kesalahan merogol pembantu rumahnya enam tahun lepas.
Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh dengan keputusan sebulat suara, menolak rayuan akhir Yong terhadap sabitan dan hukuman yang dikenakan ke atasnya.
“Sabitan adalah sah dan keputusan majoriti di Mahkamah Rayuan adalah wajar,” kata Wan Ahmad Farid yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah.
Yong, 55, akan terus dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman serta-merta.
Beliau mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan Mahkamah Tinggi atas kesalahan merogol pembantu rumahnya yang berusia 23 tahun dari Indonesia.
Pada Julai 2022, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan terhadap Yong, namun, Mahkamah Rayuan pada Mac tahun lepas mengurangkan hukuman terbabit kepada lapan tahun tetapi mengekalkan dua sebatan itu.
Wan Ahmad Farid dalam penghakimannya berkata perayu (Yong) telah mencabar Seksyen 265A Kanun Tatacara Jenayah atas alasan beliau dinafikan hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil kerana mangsa (saksi pendakwaan ke-15) memberikan keterangan dalam sesi tertutup tanpa dilihat oleh tertuduh atau peguam bela.
Mangsa yang merupakan saksi utama telah memberikan keterangan di bawah Seksyen 20 Akta Perlindungan Saksi 2009 dan Seksyen 265A Kanun Tatacara Jenayah.
Bagaimanapun, Wan Ahmad Farid berkata tidak berlaku sebarang ketidakadilan terhadap Yong dan kes pendakwaan juga tidak terjejas memandangkan mangsa adalah seorang saksi yang dilindungi.
Beliau berkata Mahkamah Persekutuan turut berpuas hati bahawa mangsa adalah seorang saksi yang boleh dipercayai dan keterangannya telah diterima oleh mahkamah.
“’Hakim yang mengendalikan perbicaraan adalah pihak yang paling sesuai menilai tingkah laku saksi semasa memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi,” katanya.
Wan Ahmad Farid berkata peguam Yong turut membangkitkan isu bahawa tiada sampel asid deoksiribonukleik (DNA) perayu ditemukan pada mop yang dikatakan digunakan untuk mengelap air mani anak guamnya di bilik berkenaan.
Beliau berkata bukti yang dikemukakan di mahkamah menunjukkan bahawa mangsa telah mengelap cecair melekit yang ditemukan di atas lantai selepas kejadian menggunakan mop yang telah direndam dengan sabun sebelum mencuci mop terbabit.
“Kewujudan atau ketiadaan DNA perayu pada mop adalah bergantung kepada pelbagai faktor yang tidak dapat dipastikan secara konklusif oleh pakar forensik. Bagaimanapun, bukti DNA hanyalah bersifat menyokong dan tidak akan menjejaskan kes pendakwaan jika terdapat bukti yang mencukupi untuk membuktikan unsur kesalahan rogol melampaui keraguan munasabah.
“Selain itu, ejakulasi bukanlah unsur dalam kesalahan rogol. Kami juga berpendapat bahawa ketiadaan DNA perayu pada mop tidak menjejaskan kredibiliti mangsa, berdasarkan keseluruhan bukti yang dikemukakan,” katanya.
Wan Ahmad Farid berkata berhubung isu mangsa yang tidak memaklumkan kepada ibunya tentang kejadian rogol ketika bertemu di kedutaan Indonesia dua bulan selepas insiden itu, perkara berkenaan telah dijelaskan semasa pemeriksaan balasnya apabila dia menyatakan bahawa dia tidak memberitahu ibunya kerana berasa bersalah dan tidak mahu ibunya bimbang.
Wan Ahmad Farid turut menyatakan bahawa mangsa di dalam diarinya antara lain menulis “Aku benci diriku,” dan apabila ditanya di mahkamah berkaitan maksud ayat itu, mangsa menjelaskan dia berasa “kotor, jijik dan hina”.
“Mangsa turut memberi keterangan bahawa sebelum kejadian rogol, perayu telah melakukan gangguan seksual terhadapnya beberapa kali di rumah perayu,” katanya.
Beliau berkata pada 9 Julai 2019, Dr Nila Wati (SP5) memeriksa wanita berkenaan di Hospital Ipoh dan mendapati terdapat koyakan baharu pada selaput dara, yang berlaku dalam tempoh kurang dari 72 jam ketika mangsa diperiksa.
“Saksi tidak menolak kemungkinan koyakan itu disebabkan oleh penetrasi zakar. Bukti daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga mengesahkan bahawa pada masa kejadian, perayu berada seorang diri bersama mangsa,” katanya.
Hakim berkenaan menyatakan mangsa memberi keterangan bahawa dia telah diugut oleh perayu supaya tidak mendedahkan perlakuan terhadapnya kepada isteri perayu, jika tidak, mereka berdua akan mati, dengan mangsa yang pertama meninggal dunia.
— LAGI
MAHKAMAH-PAUL YONG 5 (AKHIR) PUTRAJAYA
Beliau berkata mahkamah turut mendapati elemen pertuduhan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan terhadap perayu, iaitu terdapat penetrasi dan tanpa persetujuan mangsa, telah dibuktikan melampaui keraguan munasabah.
“Kesimpulannya, rayuan perayu ditolak. Mahkamah dengan ini mengeluarkan perintah komital terhadap perayu,” katanya.
Yong didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah bilik di rumahnya di Ipoh, antara 8.15 malam dan 9.15 malam pada 7 Julai 2019, mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik mewakili Yong, manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari dan Mohd Fuad Abd Aziz mewakili pihak pendakwaan.
-BERNAMA