
MIRI: Pasukan Task Force dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Cawangan Pencegahan Jenayah, Balai Polis Batu Niah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri berjaya menumpaskan satu kumpulan yang dipercayai aktif dalam kegiatan curi motosikal di sekitar daerah ini.
Menurut kenyataan Polis Daerah Miri hari ini, tiga lelaki tempatan berusia antara 24 hingga 35 tahun ditahan dalam Operasi Op Lejang yang dijalankan pada 17 September lalu sekitar 4.30 petang.
Hasil soal siasat ke atas mereka telah membawa kepada penahanan dua lagi suspek masing-masing seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing di lokasi dan masa berasingan.
“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan tujuh buah motosikal pelbagai jenis yang disyaki dicuri.
“Turut dirampas, satu laras senapang guli beserta peluru guli dan cecair dipercayai digunakan sebagai bahan untuk senjata tersebut, yang ditemui di sebuah pondok milik salah seorang suspek,” menurut kenyataan itu.


DITAHAN… Pasukan Task Force berjaya menahan dua lagi suspek iaitu seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warganegara asing di lokasi dan masa berasingan.
Siasatan awal mendapati kumpulan ini aktif mencuri motosikal di kawasan kebun, ladang, parkir awam, dan premis komersial. Mereka menyasarkan motosikal yang tidak dilengkapi kunci tambahan kerana lebih mudah dicuri, sebelum dijual semula pada harga rendah.
“Dengan penahanan ini, polis percaya beberapa kes kecurian motosikal di kawasan Miri dan Batu Niah berjaya diselesaikan,” jelas kenyataan itu lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata berbahaya, yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Polis turut menasihati orang ramai agar menggunakan kunci tambahan atau sistem penggera, meletakkan motosikal di kawasan yang terang dan selamat, serta memastikan adanya kawalan keselamatan seperti CCTV.
Sebarang aktiviti mencurigakan juga perlu segera dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras jenayah, khususnya kecurian motosikal, dan mengalu-alukan kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.
Oleh Adum Liu