Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Kepimpinan PRS, cabaran politik sebenar di Sarawak
  • KOLUMNIS

Kepimpinan PRS, cabaran politik sebenar di Sarawak

Utusan Sarawak 1 week ago

PARTI Rakyat Sarawak (PRS), yang suatu ketika dahulu menjadi tunjang suara politik masyarakat Dayak di Sarawak, kini dilihat sedang berada di persimpangan getir.

Ketiadaan tokoh besar seperti mendiang Tan Sri James Jemut Masing bukan sahaja mencetuskan kevakuman kepimpinan, juga memperlihatkan kelemahan struktur dan strategi parti dalam menyesuaikan diri dengan landskap politik baharu di negeri ini.

Ketika politik Sarawak dan Sabah semakin dipacu oleh kekuatan lokal, realiti yang perlu dihadapi PRS ialah hakikat bahawa mereka tidak lagi dilihat sebagai kuasa dominan dalam mewakili aspirasi masyarakat Dayak. 

Ada yang lihat ia sebagai satu kelompok etno-politik yang mulai kurang bersepadu dan ini menuntut pendekatan baharu dalam era pasca-Masing.

Kepimpinan

Pemilihan Datuk Joseph Salang Gandum sebagai pengganti Masing dilihat kurang mampu mengisi ruang kepimpinan ampuh seperti era James Masing bagi menyuntik semangat baharu dalam PRS.

KETIADAAN tokoh besar seperti mendiang Tan Sri James Jemut Masing memperlihatkan kelemahan struktur dan strategi parti dalam menyesuaikan diri dengan landskap politik baharu di negeri ini.

Kritikan juga terhadap kegagalan kolektif parti dalam merangka transisi kepimpinan yang terancang dan menyeluruh.

Kepimpinan yang ‘low-profile’ mungkin bersesuaian dalam sesetengah konteks, tetapi dalam PRS — yang diasaskan sebagai wadah perjuangan identiti dan nasionalisme Dayak — sifat sedemikian boleh menjejaskan keupayaan parti untuk kekal relevan di mata pengundi.

Kekalahan Salang dalam PRU15 merupakan tamparan simbolik terhadap legitimasinya, malah melemahkan kedudukannya dalam menstruktur semula parti.

Ia hanya dilihat pengisi kekosongan sementara yang akhirnya meletakkan parti dalam keadaan politik yang masih dalam legasi Masing dan tidak bergerak melangkaui daripada itu.

Persaingan dalam rumah sendiri

Cabaran terbesar PRS bukan datang dari luar, tetapi dari sekutunya sendiri dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) — terutamanya Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Realiti ini menimbulkan persoalan strategik: sejauh mana GPS mampu kekal stabil apabila parti-parti komponennya saling bersaing untuk menjadi wakil dominan bagi kelompok etnik yang sama?

Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing, dilihat sebagai seorang pemimpin yang agresif dan berpengaruh, dengan capaian nasional yang semakin meluas.

Beliau bukan sahaja berjaya mengukuhkan kedudukannya sebagai menteri persekutuan, tetapi juga secara aktif mengukir pengaruh dalam kawasan tradisi PRS — satu tindakan yang tidak lagi berselindung, malah memperlihatkan seolah-olah PDP bersedia untuk lebih dominan berbanding PRS sebagai parti utama Dayak.

PRS kini berhadapan dengan situasi klasik dalam politik gabungan: apabila kepimpinan lemah, sekutu akan mengambil alih ruang kekosongan itu.

Keadaan ini dilihat apabila PRS masih kurang berjaya menyatukan pelbagai kelompok atau klik dalam kalangan masyarakat Dayak, menjadikan mereka mudah terdedah kepada perpecahan dalaman dan pembentukan pakatan alternatif.

Calon kepimpinan

Nama Dato Sri John Sikie Tayai muncul sebagai calon utama untuk menerajui PRS, dan secara lahiriahnya, beliau mempunyai kredibiliti dengan sembilan penggal sebagai ADUN, kedudukan dalam Kabinet negeri serta reputasi kerja akar umbi.

NAMA Dato Sri John Sikie Tayai muncul sebagai calon utama untuk menerajui PRS.

Namun begitu, persoalannya bukan sekadar soal kelayakan peribadi, tetapi sama ada beliau mempunyai visi dan keberanian politik untuk merombak struktur parti dan menyuntik semula semangat perjuangan dalam PRS.

Dalam konteks politik Sarawak, kedudukan dalam Kabinet negeri memberi akses langsung kepada sumber, pembangunan dan pengaruh.

Namun, pengaruh sebegini boleh menjadi pedang bermata dua. Jika tidak digunakan untuk membentuk naratif politik yang inklusif dan progresif, ia hanya akan menjadi alat pelestarian kuasa dalam bentuk status quo, tanpa transformasi sebenar.

Jika Sikie meneruskan gaya kepimpinan konservatif yang selamat pasti akan berdepan risiko mengulangi kesilapan kepimpinan mereka, iaitu menjadi pemimpin yang berjaya secara pentadbiran tetapi gagal sebagai figura politik yang ampuh dan mampu menyatukan dan menggerakkan jentera parti serta membentuk semula identiti perjuangan.

Aaron Ago Dagang adalah pemimpin politik yang perlu diberikan peluang dalam memegang jawatan yang lebih kanan dalam PRS.

Wanita dan kepimpinan PRS

Penolakan tersirat terhadap Ketua Wanita PRS, Doris Sophia Brodie, dengan alasan bahawa akar umbi ‘belum bersedia’ menerima kepimpinan wanita, memperlihatkan realiti konservatisme gender dalam politik parti.

Jika PRS ingin kekal relevan, mereka perlu melangkaui batas lama yang menyempitkan potensi kepimpinan hanya kepada jantina tertentu.

Penafian ini bukan sahaja melemahkan imej PRS sebagai parti progresif, malah meletakkan mereka jauh di belakang dalam konteks kesaksamaan gender yang semakin menjadi naratif politik arus perdana di Malaysia.

Menolak calon wanita yang layak hanya kerana ‘tradisi’ atau ‘sentimen akar umbi’ bukan sahaja tidak demokratik, malah menafikan realiti sosial baharu di mana wanita semakin memainkan peranan penting dalam politik dan masyarakat.

Dinamika politik Dayak: Fragmentasi, persaingan identiti

Realiti politik Dayak kini memperlihatkan situasi yang agak membimbangkan sekiranya berlaku perpecahan antara mereka.

PRS sebelum ini menjenamakan dirinya sebagai “rumah terakhir” nasionalisme Dayak, tetapi jenama itu kini kehilangan sentuhan, terutama apabila realiti ekonomi, peluang pembangunan dan akses kepada sumber lebih menentukan sokongan politik berbanding retorik etno-nasionalisme semata-mata.

Masyarakat Dayak semakin terpecah bukan sahaja secara politik, tetapi juga dari segi keperluan dan aspirasi. Golongan muda misalnya, mungkin tidak lagi terikat kepada identiti politik etnik semata-mata, sebaliknya lebih tertarik kepada naratif pembangunan, peluang pekerjaan dan keterangkuman.

Saranan dan jalan ke hadapan

Untuk bangkit semula, PRS perlu melaksanakan reformasi dalaman parti secara menyeluruh.

Antara langkah utama yang harus diambil ialah membuka ruang sebenar kepada kepimpinan baharu, khususnya daripada golongan muda dan wanita.

Selama ini, budaya politik dalaman PRS terlalu bergantung kepadahierarki tradisional dan kesetiaan peribadi, yang akhirnya membantutkan kemunculan bakat dan pemimpin berpotensi.

Amalan sedemikian perlu digantikan dengan sistem yang lebih terbuka, berpaksikan meritokrasi dan ketelusan dalam pemilihan pemimpin serta agihan tanggungjawab.

Hanya dengan pembaharuan budaya politik ini, PRS mampu mengembalikan kepercayaan dalam kalangan ahli dan penyokong, serta membina daya tahan politik untuk jangka panjang.

Yang kedua, PRS harus menggubal naratif baharu politik Dayak yang lebih segar, realistik dan menyeluruh.

Ketika retorik berasaskan etno sentrisme dan nasionalisme Dayak telah lama digunakan sebagai teras perjuangan, zaman telah berubah.

Pengundi kini, khususnya generasi muda, lebih tertarik kepada isu-isu konkrit yang menyentuh kehidupan harian mereka. Naratif baharu ini perlu inklusif dan berpandangan jauh agar parti kekal relevan dalam iklim politik masa kini.

Ketiga, PRS mesti mengatur semula pendekatan strategik. Sebagai sebahagian daripada gabungan pemerintah, PRS ke depan bukan melalui konfrontasi atau retorik kosong, tetapi dengan menunjukkan keupayaan sebenar untuk memimpin, merancang dan menyumbang secara berkesan kepada pentadbiran negeri.

Ini termasuk memperkukuh kedudukan dalam rundingan peruntukan kerusi pilihan raya dan dasar bersama gabungan, agar PRS tidak terus dikesampingkan oleh parti-parti komponen lain yang semakin berpengaruh.

Keempat, cadangan Profesor Jayum Jawan supaya PRS mengadakan debat terbuka antara calon presiden merupakan satu langkah yang wajar dan progresif.

Tradisi pemilihan kepimpinan secara tertutup atau mengikut budaya konsensus lama perlu ditinggalkan.

Sebaliknya, debat terbuka memberi ruang kepada calon-calon untuk mempersembahkan idea, visi dan pelan tindakan mereka kepada perwakilan secara telus.

Ia juga memperlihatkan tahap kematangan politik PRS, selain membolehkan ahli akar umbi membuat pilihan secara lebih rasional berdasarkan keupayaan dan keberanian calon, bukan sekadar faktor populariti atau senioriti semata-mata.

Akhir sekali, PRS tidak boleh memandang remeh keperluan untuk merevitalisasi jentera pilihan raya parti, terutamanya di peringkat akar umbi.

Tanpa struktur organisasi yang aktif dan efisien, parti akan terus ketinggalan dalam menghadapi pilihan raya yang kian kompetitif.

Tumpuan perlu diberikan kepada latihan berterusan untuk petugas parti, penguasaan strategi komunikasi digital yang sesuai dengan perubahan zaman, serta pemerkasaan sayap Pemuda dan Wanita sebagai ejen penggerak utama.

Parti juga perlu mengoptimumkan penggunaan media sosial dan saluran digital lain untuk menyampaikan mesej politik secara berkesan kepada pengundi muda yang kini menjadi kumpulan paling besar dalam daftar pemilih.

Rumusan

PRS masih mempunyai peluang untuk bangkit, dalam dunia politik yang pantas berubah, keengganan untuk beradaptasi adalah punca ke arah kehilangan relevansi.

Kepimpinan baharu yang akan dipilih kelak harus memahami bahawa mereka bukan sekadar pengganti kepada legasi Masing, tetapi arkitek kepada masa depan baharu PRS.

PRS yang mempunyai 11 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri dan lima di Dewan Rakyat, namun PDP merapatkan jurang dengan lima kerusi negeri dan dua kerusi persekutuan.

Bagi mengekalkan sebagai parti Dayak utama, PRS perlu berani berubah, berani mencabar norma lama, dan bersedia membina semula bukan sahaja struktur organisasi, tetapi juga semangat perjuangan yang benar-benar mewakili suara masyarakat yang mereka dakwa perjuangkan.

Dalam politik, sejarah adalah penting — tetapi masa depan hanya milik mereka yang bersedia merebutnya.

  • Datuk Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)
Tags: Dr Awang Azman

Continue Reading

Previous: Minggu Perpaduan Kebangsaan 1964, bukti rakyat tolak Indonesia
Next: ‘Bila palak matok, baru ekor membelit’, kini isu 35 peratus kerusi Parlimen mahu ‘dilenyapkan’

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.