
KUALA LUMPUR: Lazimnya, seseorang pesakit yang menjalani prosedur penggantian keseluruhan sendi pinggul (THR) secara konvensional perlu berada di hospital antara tiga ke lima hari, namun Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menjalankan THR secara harian atau day-care.
Prosedur itu pertama kali dijalankan pada 7 Mei lalu melibatkan seorang wanita berusia 72 tahun yang dibenarkan pulang pada hari sama selepas menjalani pembedahan THR selama 90 minit dan pulih tanpa sebarang kesan sampingan.
Pakar Perunding Artroplasti di Jabatan Surgeri Ortopedik PPUM Dr Veenesh Selvaratnam ketika ditemui Bernama baru-baru ini, berkata kejayaan itu meletakkan rawatan pembedahan ortopedik Malaysia setaraf dengan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada.
“Negara maju telah lama melaksanakan amalan ini, namun di Malaysia kita masih jalankan prosedur itu secara konvensional yang memerlukan pesakit berada di hospital sebelum dan selepas pembedahan. Justeru, kejayaan ini sesuatu yang dapat memperkukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap mutu sistem penjagaan kesihatan negara,” katanya.

MILIKI KEPAKARAN MULTIDISIPLIN
Mengulas lanjut, Dr Veenesh berkata kemampuan PPUM melaksanakan THR day-care terletak pada kepakaran dan teknologi yang dimiliki oleh hospital.
Kaedah konvensional memerlukan pesakit dimasukkan ke wad sebelum pembedahan kerana dia perlu menjalani beberapa ujian saringan dan penilaian. Namun, dengan kepakaran yang kita ada sekarang, proses penilaian dan saringan dapat disingkatkan.
Perlu diingat, proses saringan ini sangat ketat dan prosedur day-care ini hanya dijalankan ke atas pesakit yang benar-benar layak dari segi kesihatan dan mempunyai sokongan penjagaan pascapembedahan,” jelasnya.
Berkongsi tentang kejayaan mereka pada Mei lalu, beliau berkata pesakit hadir di hospital pada 7.30 pagi dan menjalani pembedahan kira-kira satu jam kemudian sebelum dibenarkan keluar hospital pada lewat petang.
Madam Yap seorang pesara guru dari Petaling Jaya dan dia telah menderita sakit pinggul selama lebih setahun yang menjejaskan pergerakannya. Ketika hadir di PPUM untuk konsultasi, kami maklumkan kepadanya tentang THR day-care ini dan dia bersetuju untuk menjadi pesakit pertama kami yang menjalani prosedur itu.
“Selepas selesai pembedahan, Madam Yap berkata dia teruja kerana dibenarkan pulang pada hari sama dan menjalani tempoh pemulihan di rumah bersama-sama dengan keluarga. Namun, lebih mengejutkan dia dapat berjalan tanpa rasa sakit hanya selepas empat jam menjalani pembedahan itu,” kata Dr Veenesh.
Mengulas lanjut, kelebihan yang ditawarkan oleh PPUM berbanding hospital lain dari segi THR ialah kepakaran multidisiplin melibatkan penilaian oleh pakar bius, fisioterapi dan pakar bedah.
“Kita juga perlu pastikan kestabilan penyakit kronik seperti diabetes dan tekanan darah tinggi yang dihidapi pesakit selain dia ada penjaga di rumah dan kediamannya juga tidak jauh dari hospital terdekat,” tambah beliau.

KEPUASAN PESAKIT DAN MANFAAT SISTEMIK
Berhubung pendekatan ubat bius anestesia yang digunakan, Dr Lui Ken-Yi, pakar anestesiologi & pengurusan kesakitan PPUM, berkata ia perlu disesuaikan untuk rawatan harian.
“Pemilihan bius separa badan (spinal anesthesia) serta teknik pembiusan setempat seperti PENG (Pericapsular nerve group) dilihat dapat mempercepat proses pemulihan sambil mengawal tahap kesakitan pesakit secara efektif tanpa menyebabkan rasa mual atau kesedaran lambat selepas pembedahan.
“Manakala saringan prapembedahan perlu melibatkan taklimat menyeluruh kepada pesakit serta keluarga demi memastikan mereka faham akan tanggungjawab dan tanda-tanda komplikasi pascapembedahan. Pendekatan ini mengurangkan risiko pascabedah sambil memastikan tahap keselamatan setanding pembedahan konvensional,” tambah beliau lagi.
Menurutnya, prosedur THR ditawarkan selepas pemerhatian mendapati ramai pesakit yang menjalani prosedur itu mahu keluar dari hospital secepat mungkin, terutamanya jika mereka tidak mengalami kesakitan teruk selain ada sokongan penjagaan di rumah.
“Situasi ini sebenarnya bukan sahaja membantu mempercepat pemulihan tetapi juga mengurangkan risiko jangkitan yang biasa berlaku dalam persekitaran hospital,” jelas beliau, dan menambah sebelum pesakit THR dibenarkan keluar, dia akan dinilai oleh pasukan fisioterapi yang memastikan pesakit mampu duduk, berdiri dan berjalan.
“Jika mereka boleh melakukan pergerakan asas dengan selamat dan stabil, mereka dianggap layak untuk pulang pada hari yang sama,” katanya, menegaskan jika pesakit tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan, dia akan kekal di wad.
Dari sudut sistem kesihatan pula, Dr Ken-Yi menyatakan pendekatan sedemikian mampu menjimatkan masa dan sumber kerana membolehkan lebih ramai pesakit menerima rawatan dalam tempoh singkat, sekali gus mengurangkan beban senarai menunggu serta tekanan ke atas katil hospital dan tenaga kerja klinikal.

CABARAN PELAKSANAAN DAN PERSEPSI MASYARAKAT
Walaupun pendekatan sebegini menjanjikan pelbagai manfaat, Dr Veenesh mengakui pelaksanaannya turut berdepan beberapa cabaran besar, termasuk tahap kesedaran masyarakat tentang keselamatan dan keberkesanan pembedahan harian yang masih rendah.
“Ramai pesakit masih mempunyai persepsi bahawa pembedahan besar seperti penggantian sendi memerlukan rawatan di hospital selama beberapa hari. Ini memerlukan perubahan mentaliti dan keyakinan terhadap sistem kesihatan,” ujarnya.
Dalam konteks ini, peranan komunikasi yang efektif dan pendidikan kepada pesakit amat penting. Proses prapembedahan yang komprehensif, termasuk sesi taklimat dan simulasi penjagaan pascapembedahan di rumah, membantu membina keyakinan pesakit terhadap pendekatan itu, katanya.
“Peralatan dan bahan yang digunakan dalam prosedur ini setara dengan yang digunakan dalam pembedahan Total Hip Replacement (THR) konvensional. Malah, tiada kompromi dari segi kualiti dan standard rawatan. Implan utama yang digunakan termasuk soket (acetabulum), batang (femoral stem) dan kepala femur diperbuat daripada bahan-bahan berkualiti tinggi yang diiktiraf global dalam bidang ortopedik,” tambah beliau.
Menurutnya, bahan seperti titanium digunakan kerana sifat bahan itu yang ringan, tahan hakisan serta biocompatible, menjadikannya sangat sesuai untuk kegunaan dalam badan manusia.
Keluli tahan karat pula memberikan kekuatan mekanikal tinggi dan ketahanan terhadap tekanan harian, manakala seramik digunakan untuk permukaan sendi kerana bahan itu sangat licin dan tahan haus, sekali gus mengurangkan geseran dan meningkatkan jangka hayat implan.
bahan-bahan ini juga penting untuk memastikan fungsi sendi tiruan yang optimum, keselesaan jangka panjang kepada pesakit dan mengurangkan risiko komplikasi seperti pelonggaran atau kehausan pramatang. Justeru, walaupun pesakit didiscaj pada hari yang sama, standard keselamatan, keberkesanan dan kualiti rawatan kekal di tahap tertinggi.
Turut ditanya mengenai kos prosedur THR, beliau berkata umumnya melibatkan puluhan ribu ringgit, namun dalam kes Madam Yap, dia dilindungi oleh kerajaan Malaysia kerana merupakan pesara kerajaan.
MEMPERKASA PELANCONGAN KESIHATAN
Pengenalan prosedur pembedahan pinggul secara harian ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pesakit tempatan, malah membuka potensi besar dalam sektor pelancongan kesihatan negara. Malaysia kini boleh menampilkan diri sebagai destinasi pilihan dalam rawatan ortopedik moden yang selamat dan berkesan.
Menurut Dr Veenesh, fasiliti yang digunakan dalam program ini turut dikongsikan dengan sektor swasta menerusi kerjasama Pusat Pakar Universiti Malaya. Pasukan perubatan dan lokasi prosedur juga adalah pasukan yang sama, dan ini mampu memberi keyakinan kepada pesakit antarabangsa terhadap kualiti rawatan yang ditawarkan, tambahnya lagi.
Langkah ini juga selari dengan hasrat negara untuk memperkukuh sektor pelancongan kesihatan dan meningkatkan pendapatan negara menerusi sektor perkhidmatan perubatan. Dalam jangka panjang, ia mampu memperluas akses kepada rawatan berkualiti sambil mengekalkan keberkesanan kos.
“Walau bagaimanapun, promosi beretika dan komunikasi berkesan kepada pasaran antarabangsa perlu dilakukan agar keunikan pendekatan ini dapat difahami dengan betul. Kejayaan pelaksanaan awal di institusi tempatan boleh dijadikan testimoni penting untuk menambat keyakinan pesakit dari luar negara.
Dengan kerjasama rapat antara sektor awam dan swasta, serta sokongan dasar kesihatan negara, pendekatan rawatan seperti ini diyakini mampu menjadikan Malaysia sebagai hab pelancongan kesihatan serantau yang kompetitif dan mampan,” jelasnya sebelum menutup bicara.- Bernama