Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Belum Selesai
  • WBS

Belum Selesai

Utusan Sarawak 1 week ago

EMPAT hari berlalu tanpa khabar membuatkan Zati memanjangkan langkah kakinya menuju ke rumah Mia.

            “Assalamualaikum Mia. Mia. Ooo Mia.”

            “Waalaikumsalam. Haa Zati. Kamu cari Mia ya?”

            “Ya, nek. Mia ada di rumah?” tanya Zati sambil matanya melilau ke dalam rumah.

            “Ya, ada dalam biliknya. Dari tadi tak keluar. Nenek panggil ajak makan pun tidak menyahut. Entah apalah dibuatnya di dalam sana nenek pun tak tahu.” Luah nenek dengan nada risau.

            “Oh, ya ke nek?”     

            “Elok lah kamu datang ni. Boleh kamu panggil dia ajak keluar. Dari pagi lagi dah terperap dalam bilik. Mari ikut nenek.”

            Nenek berjalan mendahului langkah. Zati hanya diam mengikuti sahaja.

            “Kamu ketuk pintu ni. Cuba ajak dia berborak atau ajak keluar sekejap ke. Risau nenek dia asyik menyendiri sahaja di dalam bilik ni.” Kata nenek dengan suara berbisik.

            “Baiklah, nek. Terima kasih.”

            “Nenek ke dapur sediakan minum dulu. Nanti sudah berborak kamu ajak dia makan kat dapur. Mana tahu dia nak makan bila Zati yang ajak. Silakan ya.”

            Zati mendekatkan diri ke daun pintu bilik Mia. “Assalamualaikum Mia. Mia. Ooo Mia. Aku ni, Zati. Aku datang nak tengok kau. Dah dua hari kau tak datang sekolah. Kau kenapa? Kau demam ke? Mia, bukalah pintu ni. Aku nak tengok kau. Kau okey ke tidak ni. Mia? Kau marah aku ke? Maafkanlah aku kalau aku ada buat salah silap kat engkau. Tapi seingat aku, aku tak ada masalah pun kat kau. Kau yang selalu cari pasal kat aku. Patut aku yang marah kau.” Suara Zati mula mengendur dengan nada merajuk. Risau kalau kawannya ini ada terasa hati terhadapnya. Daun pintu bilik Mia dikuis-kuisnya.

            “Mia. Bukalah pintu ni mia. Aku nak tengok kau. Empat hari sudah aku tak tengok muka kau. Janganlah macam ni.” Masih tiada sebarang reaksi dari Mia. Hati Zati mula panas. Geram sungguh dengan sikap Mia ni.

“Hoi, budak! Kau buat apa kat dalam tu? Senyap je kau ni. Aku dah berpeluh panggil kau keluar. Tapi kau tak jawab aku pun. Sampai hati kau tak pedulikan kawan baik kau ni. Aku datang jauh-jauh kayuh naik basikal tau. Boleh pulak kau buat aku macam tunggul kat depan pintu tu. Ke kau pengsan kat dalam tu?” Suaranya kembali nyaring. Penat memanggil Mia. Zati menyandarkan bahu kanannya ke daun pintu sambil tangannya memutar-mutar tombol pintu bilik Mia.

“Oh, mak kau!” tak semena-mena daun pintu terbuka dari dalam. Badan Zati terdorong ke hadapan. “Eh, kau ni Mia. Nasib aku tak tersungkur depan ni.” Marah Zati. Perlahan-lahan daun pintu ditutup.

“Hei, Mia. Kau ni kenapa? Diam je dari tadi. Kau janganlah nak menyorok pulak dalam selimut busuk kau ni.” Selimut yang menutupi seluruh badan Mia ditariknya kuat.

“Adamia Maisarah!” Tubuh kecil Mia pula digoncangnya kuat apabila Mia masih mendiamkan diri. Wajahnya sahaja berkerut menahan kesakitan. “Kau ni dah gila ke apa ?” Marah Zati. Sungguh hatinya tengah panas saat ini.

“Kau kenapa datang sini?” tanya Mia tanpa memandang wajah Zati.

“Aku cari engkaulah. Takkan aku datang sini cari atok kau.” Badannya dihenyak ke atas tilam Mia.

“Buat apa kau cari aku?”

“Lah, kau ni. Mestilah aku cari kau. Kau kawan aku. Risau aku bila aku mesej kau tak balas. Berpuluh kali aku buat panggilan telefon kau tak angkat. Membazir duit aku je kau ni. Kau kenapa dah dua hari ni kau tak datang sekolah? Kau demam ke?” Dahi Mia dirasakan dangan telapak tangan.

“Okey je suhu badan kau ni. Tak panas pun. Ke mulut kau sakit, tak boleh bercakap? Berbuih dah mulut aku asyik membebal dari tadi”

“Aku… aku…aku…”

“Ya, kau apa? Cakap lah. Eh, kau ni buat aku geram je. Jangan sampai aku hempuk kau dengan bantal busuk kau ni”.

“Aku benci kau.” Cepat sahaja perkataan itu keluar dari mulut Mia tanpa memandang ke arah Zati.

“Eh, kenapa nak benci aku pulak kau ni?” tanya Zati tidak puas hati.

“Aku tengok kau makin rapat dengan si Haikal tu.”

“Lah. Sebab itu ke kau merajuk sampai dua hari tak datang sekolah? Kau ni mengadalah Mia.”

“Sampai aku pun kau dah tak peduli kat sekolah.”

“Eh, mana ada. Kau jangan nak memandai. Aku dengan kau, kita ni asyik berdua di sekolah. Ke mana-mana pun bersama. Bila masa pula aku tinggal kau sorang-sorang?”

“Yelah tu. Tapi sebenarnya bukan sebab itu aku tak datang sekolah. Aku… aku… aku….” teragak-agak Mia meneruskan kata-kata.

“Kau apa? Dari tadi kau asyik aku aku je. Cakap je lah.” Marah Zati tidak bersabar menunggu nada serius Mia.

“Sebenarnya aku takut nak datang sekolah. Hari Jumaat lepas, sebelum balik sekolah, aku kan ada pergi ke tandas. Aku pergi sorang. Masa tu kau kat bilik guru lagi. Aku terdengar ada beberapa orang pelajar tingkatan lima tengah bincang sesuatu. Tapi, sekejap. Kau janji ya, tak beritahu sesiapa.”

“Ha, yalah. Apa dia? Eh, kejap. Siapa watak dalam cerita ni? Kau jangan kata geng minah karipap tu ya. Aku tak suka mereka itu.” Kata Zati sambil mata hitamnya menjuling ke atas. Nampak benar wajahnya tak suka.

“Ha, itulah dia. Merekalah. Tapi kalau kau kata kau tak suka, tak apa lah. Aku simpan sorang-sorang. Kau boleh balik.” Mia lalu merebahkan badannya membelakangi Zati. Saja ingin mengusik Zati.

“Alah. Janganlah Mia. Aku gurau saja. Aku pun nak dengar juga cerita geng minah karipap ni.” Sekuat tenaga Zati mengangkat badan Mia dari perbaringan. Namun badan Mia mengeras. “Eh, budak ni. Kau kenapa ni Mia? Asyik nak merajuk,” marah Zati sambil menghempuk belakang Mia dengan bantal.

“Okey. Jumaat lepas masa Cikgu Asri panggil kau tu. Aku ke tandas. Masa aku ke tandas tu aku terdengar ada suara-suara orang berbisik di belakang tandas. Aku ingat ada budak-budak ponteng. Aku jenguklah perlahan-lahan. Bila aku terdengar suara yang aku tahu siapa jadi aku menyampahlah sikit. So, aku ingat nak pergi dari situ. Tiba-tiba aku terdengar salah seorang dari mereka mengatakan curi kertas ujian. Aku terus tak jadi nak blah dari situ. Aku curi-curi dengar sampai habis. Tapi kau nak tahu tak apa jadi?” Wajahnya yang serius bercerita tiba-tiba tersengih-sengih. Otaknya sangat geliga memikirkan cara hendak mengenakan lagi si Izati ni. “Mari sini telinga engkau” sambung Mia lagi.

Zati mendekatkan wajahnya ke arah Mia. Dengan tidak semena-menanya kepala Zati dihempuknya dengan menggunakan bantal.

“MIA!” jerit Zati. Mulalah adegan mereka bergurau-senda dengan membaling bantal masing-masing. Setelah puas, masing-masing terbaring tercungap-cungap tak cukup nafas.

“Mia. Kau nak tahu sesuatu tak?” tanya zati.

“Hah, apa?” tanya Mia pula.

“Aku sebenarnya dah lama benci kau.”

“Haha. Ye ye je kau. Kau benci aku? Tak ada aku pun kau tercari-cari sampai ke rumah. Ada hati nak benci aku. Aku tahu kau sayang aku kan haha.” Makin galak Mia menyakat Izati.

“Kau ni memang buat aku betul-betul benci. Cepatlah cerita. Aku nak tahu apa jadi lepas tu.”

“Aku takutlah nak cerita habis.” wajah Mia nampak sedikit risau.

“Kenapa kau nak takut pula? Aku kan ada. Kau kantoi ke masa curi-curi dengar tu?” tanya Zati dengan riak terkejut.

Pertanyaannya hanya dibalas anggukan dari Mia.

“Seriouslah, Mia. Kau kantoi ke? Kalau kau kantoi, habislah.”

Mia bingkas bangun.

“Lepas tu apa jadi?” tanya Zati lagi.

“Masa tu entah dari mana tiba-tiba Auni jerit panggil nama aku. Dia jerit sekuat hati pula tu. Mana tak kantoi. Aku dengar suara dia, aku pusing belakang dia tengah sedap makan ice cream mak cik kantin. Aku dah gelabah dah masa tu. Aku ingat nak terus lari. Tiba-tiba bahu aku dipegang. Bukan pegang biasa-biasa tau, dia siap picit lagi bahu aku. Sakit kau tahu tak? Ni, kau tengok ni. Sampai berbekas biru macam ni.” Baju dibahu dibetulkan semula.

Izati menggeleng kepala mendengar cerita Mia. “Lepas tu mereka kata apa? Mereka ada ugut tak?” tanya Zati dengan wajah serius.

“Lepas aku kantoi tu. Mereka tarik aku beramai-ramai pergi jauh sikit ke belakang. Aku masa tu dah takut. Aku takut mereka pukul aku beramai-ramai mahu tak mati aku mereka kerjakan.”

“Ha, habis tu mati tak?” Niatnya hanya ingin bergurau sedikit namun disambut dengan jelingan oleh Mia. “Okey, maaf. Sambung lagi.”

“Dah sampai kat belakang tu, ditolaknya aku sampai jatuh ke bawah. Taklah sakit mana ditolak jatuh tu. Tapi masa tu aku dah gerun dah risau muka aku tak serupa Mia dah kalau mereka kerjakan.”

“Ha, betul tu. Takut nanti muka kau balik-balik terus jadi macam kena sengat tebuan. Lepas tu apa jadi?”

“Si Nani tu tanya aku. Kau dengar apa kita orang cakap tadi? Aku buat-buat tak tahulah. Aku kata aku tak dengar apa-apa. Lepas aku cakap tu, tudung aku disentap dari belakang sampai mendongak muka aku ni. Budak yang tarik tu ialah Isya. Aku tengok muka dia masa tu. Mukanya merah menyala. Si Isya tu kata, kau jangan nak pura-pura tak dengar. Kau dengar sampai mana? Kau tahu apa kita orang nak buat? Tapi aku masih diam. Aku tak berani cakap. Datang pula si Nisa, disepaknya kaki aku. Aduh… yang ni sakit. Kau tengok ni.” cerita Mia sambil tangannya menyelak kaki seluar. Ternyata memang ada kesan membiru di kakinya.

“Ya, Tuhan. Eh, biru betul ni Mia. Dia sepak ke dia pijak kaki kau sampai jadi biru macam ni? Mereka ni dah gila ke apa, sampai buat anak orang macam ni? Geram pula hati aku ni. Kau kenapa tak beritahu aku awal-awal?” marah Zati.

“Kalau aku beritahu pun, kau boleh buat apa?” tanya Mia dengan riak sedih.

“Memang aku tak boleh apa-apa kat mereka. Tapi kita boleh buat laporan kepada guru disiplin. Biar mereka rasa. Ni, kaki kau ni, sampai membekas biru. Sakit ni.” Suara Zati mula mengendur. Jelas riak sedih di wajahnya melihat kesan lebam-lebam biru di bahagian kaki Mia.

Mia hanya diam. Fikirannya saat ini sedang serabut dengan kata-kata ugutan. Risau sekiranya terjadi apa-apa kepadanya di kemudian hari.

“Tapi, Zati. Tak apalah. Biarkan mereka. Nanti mereka akan dapat juga akibat perbuatan mereka itu.” Pujuk Mia.

“Tak boleh jadi ni, Mia. Kita kena buat laporan juga. Kita lapor kepada guru disiplin atau kepada tuan pengetua terus, biar mereka rasakan. Berani nak buli anak orang. Sudahlah merancang benda jahat. Lepas tu, main sepak-sepak anak orang pula. Tak boleh dibiarkan. Ini bukan kali pertama mereka buat hal. Dah banyak kali. Mangsa mereka semua kena belasah teruk sampai tak berani nak bersuara. Sebab itulah mereka makin naik kepala. Mereka rasa hebat bila tiada apa-apa tindakan diambil.” Bebel Zati geram sekali. Sarung bantal Mia dicarik-cariknya.

“Janganlah, Zati. Kalau aku kena lagi nanti macam mana?” tanya Mia dengan gelisah. Risau kalau dia menjadi sasaran lagi.

“Apa kau nak takut, aku kan ada.” Ujar Zati selamba.

“Kalau mereka kacau kau macam mana? Mereka aim kau pulak.” Mia memandang tepat ke arah wajah Zati. Khawatir sekiranya Zati menjadi sasaran pembuli itu.

“Apa aku nak takut? Abang aku polis. Aku lapor dengan abang aku terus biar mereka tahu rasa.” Geram sungguh hati Zati dengan perlakuan mereka itu kepada Mia.

“Eh, kau ni Zati. Jangan buat aku risau. Kang nanti tak pasal-pasal kita semua mendapat. Aku ni dahlah lebam-lebam. Tak sanggup aku kena lebam lagi satu badan.”

“Tak apa, kau jangan risau. Biar aku yang uruskan.” pujuk Zati. Dia tahu Mia tengah risaukan keselamatannya di sekolah.

            “Mia, Zati. Buat apa lama-lama dalam bilik ni? Mari ke dapur, kita minum petang. Nenek ada buatkan cucur cempedak ni. Mari makan. Panas-panas ni, sedap.” Laung nenek dari luar bilik.

            Mia dan Zati saling terkejut.

            “Baiklah, nek. Lepas ni kami keluar.” sahut Mia. “Zati, macam mana ni? Jalan aku terhincut-hincut.” Luah Mia.

            “Tak apa. Aku boleh papah kau.” Kata Zati sambil turun daripada katil dan menghampiri sisi kiri Mia.

            “Kalau nenek tanya nanti, aku nak jawab apa?” tanya Mia.

            “Kau beritahu je kaki kau kena gigit nyamuk.” saran Zati.

            “Eh, kau ni. Alasan biarlah logik sikit. Mana ada gigit nyamuk sampai terhincut-hincut.”

            “Habis tu, kau nak beritahu apa? Atau… biar aku kata kau sebenarnya kena buli di sekolah?”

            “Kau ni tak membantu langsung.”

            “Banyak songeh pula budak ni. Mari sini, aku papah kau.”

            Mia dan Zati beriringan ke dapur. Selesai minum petang Zati minta diri untuk pulang.

            Di hadapan bilik pengetua, Mia dan Zati berdiri tegak. Mia agak sedikit cuak. Perasaannya bercampur-baur. Ingin sahaja kaki melangkah keluar namun takut melihat jelingan mata Zati. Sudah berkali Zati memberi amaran jangan mundur. Kini mereka sudah pun berada di hadapan bilik pengetua. Belum sempat mereka mengetuk pintu, tiba-tiba datang seorang pelajar junior.

            “Kak Mia, kak Zati. Kak Mariam… Mariam…” tercungap-cungap pelajar tersebut.

            “Ya, ada apa dengan Mariam ?” tanya Zati.

            “Kak Mariam diheret oleh kakak-kakak tingkatan lima tu ke belakang sekolah.”

            “Kenapa pula?” tanya Zati lagi.

            “Nampaknya mereka macam nak belasah kak Mariam.”

            Tanpa berkata apa-apa, laju sahaja kaki Zati dan Mia melangkah meninggalkan kawasan bilik pengetua. Langkah dihayun laju ke arah belakang sekolah. Setelah Mia, kini Mariam kawan baik mereka lagi kena buli oleh geng bawang ini.

“Kau orang ni memang nak kena.” gumam Zati. Kes belum selesai. 

Oleh Siti Nur Hidayah Masda

Continue Reading

Previous: Puisi
Next: Pemikiran Estetika dalam Sajak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.