

ENGKILILI: Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian menegaskan bahawa usaha berterusan dalam memelihara kebersihan awam serta kelestarian persekitaran mampu menjadikan Lubok Antu sebagai contoh daerah yang bersih, teratur, berdaya saing dan sejahtera.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Program Hari Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA) Sempena Sambutan Hari Cuci Malaysia 2025 yang diadakan di Dewan Serbaguna Engkilili dan kawasan pasar Engkilili, kelmarin.
Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Setiausaha Kepada Premier Sarawak, Kua Jack Seng.
Dengan tema ‘Ke Arah Komuniti Bersih dan Lestari’, program tahunan MDLA ini bukan sahaja menjadi platform memperkenalkan peranan agensi-agensi kerajaan kepada masyarakat, malah bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pentingnya menjaga kebersihan serta memerangi isu pencemaran sisa.
“Program seperti ini amat bermakna kerana ia menggalakkan penyertaan masyarakat dalam membudayakan gaya hidup bersih dan sihat.

“Ia juga selari dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan komuniti yang berdaya tahan serta lestari,” jelas Dr Sim.
Antara sorotan utama program ialah Pelancaran Sambutan Hari Cuci Malaysia 2025 oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang berlangsung serentak di seluruh negara.
Selain itu, Pemulihan Mercu Tanda Engkilili oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Engkilili bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pekan Engkilili di bawah Program Komuniti Projek Rakyat N.33 Engkilili dan Pelancaran kenderaan penguat kuasa dan kamera badan Majlis Daerah Lubok Antu.
Program ini turut mencatatkan kejayaan apabila 880 kilogram sampah berjaya dikumpul hasil gotong-royong yang dijalankan di tiga zon sekitar Pasar Engkilili.
Turut hadir, Ahli-Ahli Majlis MDLA, Ketua Masyarakat kawasan Engkilili, wakil agensi kerajaan, pertubuhan belia serta lebih 300 orang peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Oleh Adi Safarman