
KUCHING: Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin menegaskan kepentingan memastikan sektor pengangkutan air di negeri ini turut diberi keutamaan di bawah Skim Subsidi Petrol Bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Beliau berkata, langkah itu penting bagi menjamin keterangkuman khususnya melibatkan pengusaha bot penumpang serta komuniti sungai dan pesisir yang bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan air sebagai sumber rezeki dan mobiliti harian mereka.
“Golongan ini tidak boleh diketepikan daripada Skim BUDI95 yang telah mendapat sambutan baik di seluruh negara, sekali gus mencerminkan komitmen kuat kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Unit Perancang Ekonomi (EPU) akan mengadakan mesyuarat esok bersama Kementerian Kewangan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk membincangkan kemasukan sektor pengangkutan air Sarawak dalam skim berkenaan.
Bagi tujuan itu, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) di bawah kementeriannya telah diarahkan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta agensi berkaitan bagi menyediakan data menyeluruh berkaitan pengangkutan air di Sarawak.
“Data yang lengkap amat penting untuk menyokong hala tuju dasar, membuat keputusan yang tepat serta penetapan kuota, demi memastikan semua kumpulan yang layak turut menikmati Skim BUDI95,” ujarnya.
Setakat ini, LSS telah menyerahkan senarai 205 pemilik dan pengusaha bot penumpang berdaftar serta bot kecil dan vesel yang memegang Permit Pengangkutan Sungai kepada Kementerian Kewangan Sarawak. Senarai itu akan menjadi sebahagian daripada pertimbangan penyesuaian skim berkenaan.
Selain itu, LSS juga sedang bekerjasama dengan kementerian serta agensi berkaitan bagi mengumpul dan mengesahkan data komuniti sungai dan pesisir agar semua individu yang layak tidak tercicir daripada skim tersebut, selaras dengan prinsip keterangkuman kerajaan.
Oleh Shikin Mahmud